PETALING JAYA: Keberanian dan kecekapan anggota Jabatan Pasukan Petugas Khas Operasi Counter Terrorism (E8) Bukit Aman terserlah menerusi kejayaan operasi menyelamat peraih ikan dari Semporna, Sabah, Pang Choon Pong pada tahun 2013.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkongsi pengalaman menyelamatkan mangsa berkata, kehidupan Pang berubah apabila dia diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf Group(ASG) ketika berada di Pondohan Lok Angki, Sitangkai, Tawi-Tawi, Selatan Filipina pada 5 Oktober 2011.
Menurutnya, Pang dibawa jauh merentasi perairan berbahaya sebelum akhirnya ditahan di wilayah Sulu, Kepulauan Jolo, sebuah kawasan yang sinonim dengan aktiviti militan bersenjata dan penculikan rentas sempadan.
“Sepanjang ditahan, Pang disembunyikan dari satu lokasi ke lokasi lain di bawah kawalan ketat ASG, bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Harapan keluarga di tanah air terus bergantung pada khabar yang amat terhad, sehinggalah awal September 2012, apabila maklumat risikan mengesahkan Pang masih hidup dan ditahan di sebuah kem ASG di Bukit Kepang, Indanan Municipality,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya.
Ayob berkata, di kem berkenaan, Pang bukanlah satu-satunya tebusan, sebaliknya dikurung bersama beberapa warga asing lain dan dikawal oleh kira-kira 30 anggota militan bersenjata lengkap.
“Usaha membawa pulang Pang digerakkan secara sulit bermula Disember 2012 hingga Mac 2013 apabila E8 melalui rangkaian sumber yang mengadakan lebih 20 siri rundingan sulit dengan kumpulan penculik.
“Rundingan demi rundingan dijalankan dengan penuh kesabaran dan strategi. Pegawai Operasi kami yang terlibat dalam operasi khas ini adalah Reno, Jaybon dan Ariel,” jelasnya.
Ayob Khan berkata, akhirnya, selepas hampir satu setengah tahun diculik, Pang berjaya dibebaskan pada 5 Mac 2013 sekali gus menamatkan episod hitam yang bukan sahaja menguji ketahanan dirinya tetapi juga kesabaran keluarga serta kecekalan pihak yang bertungkus lumus di sebalik tabir.
“Walaupun pada peringkat awalnya, kedua-dua operasi ini dianggap hampir mustahil untuk dilaksanakan berikutan risiko keselamatan, operasi sulit di luar negara serta kawalan ketat di perairan.
“Namun kejayaan misi ini membuktikan bahawa tiada operasi yang terlalu sukar apabila dilaksanakan oleh pegawai yang berdedikasi, proaktif dan berani memikul amanah,”ujarnya.
Katanya, kejayaan misi senyap ini membuktikan bahawa kecekalan, empati kemanusiaan serta kerjasama berpasukan mampu mengatasi situasi yang kelihatan mustahil.
“Dedikasi dan keberanian pegawai-pegawai E8 yang terbabit mencerminkan semangat sebenar pengabdian kepada tugas.
“Amanah melindungi nyawa rakyat dilaksanakan tanpa mengharapkan pengiktirafan, sebaliknya berteraskan tanggungjawab, keikhlasan dan pengorbanan demi kepentingan negara dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN











