KUALA LUMPUR: Program National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) membuktikan inovasi tempatan kini menerajui penyelesaian berasaskan penerimagunaan sebenar melalui penggunaan teknologi dalam ekosistem industri, sektor awam dan pasaran antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Datuk Ghazi berkata, penyertaan syarikat dan inovator dalam NTIS telah membentuk pendekatan inovasi yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah sebenar khususnya melibatkan keperluan pengguna, masyarakat dan negara.
Katanya, sebelum pelaksanaan NTIS, kebanyakan syarikat menyertai program berkenaan dengan idea atau konsep awal, namun pendekatan sandbox mengubah keperluan inovasi kepada pengujian penyelesaian dalam persekitaran sebenar.
“Sebelum wujudnya NTIS, ramai datang dengan sekadar idea. Dengan NTIS, mereka kini hadir dengan bukti penggunaan sebenar. Ini mencerminkan perubahan ketara dalam cara inovator menilai keberkesanan teknologi yang dibangunkan.
“Suasana sandbox memaksa inovator keluar dari zon selesa makmal dan menguji penyelesaian dalam konteks sebenar, termasuk bagi sektor pertanian, kesihatan dan mobiliti. Pendekatan ini memastikan teknologi diuji secara langsung dalam situasi operasi sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas kesan pengujian teknologi dalam persekitaran sebenar, Ashran berkata, pendekatan tersebut menjadi asas penting dalam membina keyakinan pihak industri terhadap penyelesaian yang ditawarkan oleh inovator tempatan.
Katanya, penerimagunaan teknologi tidak dapat dicapai sekiranya penyelesaian yang dibangunkan gagal membuktikan keberkesanan dan kesesuaian dalam operasi sebenar industri.
“Apabila teknologi diuji dalam persekitaran sebenar, barulah kepercayaan dan sokongan industri timbul. Kepercayaan itu penting untuk memastikan teknologi dapat diterimapakai secara lebih meluas.
“Itu perbezaan paling nyata yang kita lihat hari ini, apabila teknologi tidak lagi berhenti di peringkat ujian, sebaliknya bergerak ke arah penggunaan sebenar oleh industri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Billion Prima Sdn. Bhd., Lee Yuh Jiunn berkata, penyertaan syarikatnya sebagai alumni NTIS memberi kelebihan dari segi membina keyakinan pasaran khususnya dalam kalangan pengguna akhir di luar negara terhadap teknologi tempatan.
Katanya, pengiktirafan melalui NTIS menjadi faktor penting dalam membantu syarikat meyakinkan pelanggan antarabangsa bahawa produk dan penyelesaian yang ditawarkan merupakan teknologi buatan Malaysia yang telah diperakui.
“Program NTIS telah berjaya membantu kami memberikan keyakinan yang kukuh kepada pengguna akhir di luar negara bahawa produk dan penyelesaian kami telah diperakui oleh NTIS serta merupakan teknologi 100 peratus buatan Malaysia.
“Hal ini memberi impak positif khususnya dalam membantu pengguna akhir seperti jabatan kastam luar negara untuk menggunakan penyelesaian kami dalam operasi pemeriksaan harian mereka,” katanya.
Mengulas pencapaian selepas menamatkan program NTIS, Yuh Jiun berkata, pihaknya telah berjaya menembusi pasaran eksport menerusi penjualan pengimbas sinar-X kargo ke negara jiran dengan pendapatan melebihi AS$25 juta dalam tempoh beberapa tahun.
“Inovasi dan produk kami bertujuan melindungi keselamatan negara serta mengekalkan kedaulatan keselamatan tanpa bergantung kepada teknologi asing.
“Apabila pengguna melihat pengimbas sinar-X berlogo MySTI atau NTIS digunakan di lapangan terbang, ia merupakan satu kebanggaan besar bagi kami sebagai usahawan teknologi tempatan,” katanya.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Renewcell (M) Sdn. Bhd., Danesh Anandan berkata, penyertaan syarikat dalam NTIS membantu membuka laluan perbincangan lebih jelas dengan pihak pengawal selia berkaitan perkhidmatan regenerasi bateri yang ditawarkan.
Katanya, sebelum ini pihaknya berdepan kesukaran untuk meyakinkan pengawal selia dan pelanggan bahawa bateri boleh diregenerasi serta digunakan semula dengan selamat.
“NTIS membantu kami dalam sesi libat urus bersama agensi pengawal selia bagi menjelaskan perkhidmatan regenerasi bateri yang ditawarkan khususnya apabila perkhidmatan ini masih memerlukan penjelasan lanjut dari sudut peraturan.
“Melalui sokongan tersebut, kami dapat membina keyakinan bahawa bateri yang melalui proses regenerasi boleh digunakan semula dengan selamat, selain membantu pihak berkaitan memahami bahawa perkhidmatan ini tidak wajar diklasifikasikan sebagai aktiviti berkaitan sisa,” katanya.

Menyentuh mengenai impak inovasi hasil penyertaan NTIS, Pengarah Eksekutif myspatial Sdn. Bhd., Mohd. Azuar Yaakub berkata, penyelesaian berasaskan Sistem Perisikan Geospatial (GIS) yang dibangunkan syarikat telah digunakan secara langsung dalam sektor perladangan dan keselamatan.
Katanya, sokongan melalui platform sandbox membolehkan teknologi GIS yang menggabungkan data satelit dan dron diaplikasikan dalam operasi sebenar sekali gus membantu pendigitalan, pemantauan berstruktur dan pembuatan keputusan yang lebih tepat.
“Dalam sektor perladangan, aplikasi GIS yang dibangunkan melalui NTIS membantu pihak pengurusan membangunkan peta digital, pangkalan data serta papan pemuka analisis bagi meutusmantau operasi dan mengakses laporan harian.
“Pendigitalan melalui penggunaan data satelit dan dron turut membantu pengurusan ladang membuat keputusan yang lebih tepat serta mengurangkan kos operasi.
“Dalam sektor pertahanan dan keselamatan pula, kami membangunkan peta luar talian tempatan melalui sokongan NTIS yang telah dipasang pada beberapa kenderaan ketenteraan sekali gus menyokong operasi di kawasan capaian terhad dan mengurangkan kebergantungan kepada peta luar negara,” katanya. – UTUSAN










