Galak pelajar OKU minat bidang sains

Galak pelajar OKU minat bidang sains

AKSES terhadap pendidikan dan pendedahan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) perlu dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU, agar tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan teknologi negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MODUL astronomi bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan di Planetarium Negara merupakan modul pertama diterbitkan dalam negara bagi kegunaan MBPK ketidakupayaan penglihatan untuk mempelajari bidang astronomi.

Modul ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Space Insight #PlanetariumGoldenHeart yang dirangka khusus untuk melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam program pembudayaan Sains Angkasa yang berfokuskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) secara umumnya. Penghasilan modul ini dibangunkan dengan penyesuaian instruksional pembelajaran astronomi yang bersesuaian untuk MBPK ketidakupayaan penglihatan. Modul ini turut menjadi sisipan modul bagi menyokong pembelajaran sains di peringkat sekolah rendah.

Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan OKU, inisiatif Madani menekankan komitmen menyeluruh dalam memastikan tiada sesiapa yang tercicir, termasuk mereka yang berkeperluan khas. Kerajaan memberi perhatian khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak dengan memastikan akses yang adil dan saksama kepada peluang pendidikan bagi semua golongan, termasuk kanak-kanak OKU. Ini sejajar dengan prinsip keterangkuman dan ihsan yang menjadi tunjang gagasan Madani, mendidik dengan empati dan menyediakan sokongan yang menyeluruh sejak peringkat awal perkembangan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus menyokong usaha ini dengan memastikan akses terhadap pendidikan dan pendedahan dalam bidang STI dapat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU, agar tiada yang tertinggal dalam arus pembangunan teknologi negara.

Justeru, modul astronomi bagi MBPK ketidakupayaan penglihatan ini akan diagihkan kepada 12 buah sekolah terpilih dalam negara yang memiliki murid berkeperluan khas. Melalui Program Transit Astronomi Inklusif, modul ini akan digunakan dalam program jangkauan ke sekolah-sekolah yang menempatkan MBPK ketidakupayaan penglihatan yang mengikuti program Pendidikan Khas Integrasi dan Program Pendidikan Inklusif di arus perdana. Modul ini juga akan turut dikongsikan dengan negara-negara ahli Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU).

Penerbitan modul ini turut ditaja oleh Hibiscus Petroleum Berhad sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikat berkenaan.

Antara kementerian, jabatan dan agensi yang turut kolaborasi dalam pembentukan modul ini adalah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Pendidikan Guru, Kampus Ilmu Khas Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan KL Braille Resources.

Skop program ini akan diperluaskan kepada Edu-Kit Jangkau Luar, Program Transit Astronomi Inklusif, Program Kolokium Astronomi Inklusif dan penterjemahan modul. – UTUSAN

PLANETARIUM NEGARA
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN