NGO desak kerajaan jelaskan dakwaan iktiraf UEC 

NGO desak kerajaan jelaskan dakwaan iktiraf UEC 

SESI penyerahan memorandum penolakan mutlak pengiktirafan UEC kepada Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad di KPM, Putrajaya. - UTUSAN/NURIN NABILAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan diminta tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan persetujuan penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dari sekolah swasta Cina sekiranya pelajarnya mengambil dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah. 

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. 

“Pengiktirafan UEC akan menghancurkan prinsip kesamarataan sistem pendidikan, apabila pelajar aliran kebangsaan diwajibkan lulus Bahasa Melayu dan Sejarah, sedangkan pemegang UEC dikecualikan daripada keperluan asas kenegaraan,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad di sini, hari ini. 

Beliau berkata, terdapat dakwaan bahawa pelajar sekolah menengah persendirian Cina dibenarkan mengambil hanya dua mata pelajaran SPM berbanding enam subjek seperti ditetapkan sebelum ini. 

Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut selepas pertemuan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Dong Zong, bulan lalu.   

Bagaimanapun, beliau mendakwa laporan media bukan berbahasa Melayu pada sebelah petang hari berkenaan menyatakan kerajaan telah menerima UEC.

Selain itu, beliau mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan dakwaan sekolah swasta tersebut dibenarkan mengajar mata pelajaran Sejarah dalam bahasa Mandarin serta dakwaan bahawa beliau bersetuju membawa wakil Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dalam pertemuan yang sama, mereka bincangkan agar matapelajaran Sejarah ini diajar oleh mereka dalam Bahasa Mandarin dan dikatakan Menteri setuju. Kalau tak betul, Menteri perlu nafikan dakwaan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN