ALOR SETAR: Seorang pendakwah bebas dan seorang wanita yang juga Ketua Jabatan Kewangan dan Perakaunan sebuah pusat pendidikan dan dakwah, ditahan kali kedua oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, semalam.
Suspek lelaki yang juga pengarah urusan institusi berkenaan bersama wanita terbabit kali ini ditahan untuk membantu siasatan kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.
Menurut sumber, siasatan terhadap mereka turut melibatkan proses kelulusan pembayaran untuk pembelian rumah bernilai kira-kira RM500,000.
“Dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta itu dipercayai dimasukkan ke dalam akaun persendirian,” katanya di sini, hari ini.
Sumber memaklumkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di pejabat SPRM Cawangan Sungai Petani.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan siasatan kes tersebut dijalankan sejak Oktober tahun lalu.
Kata beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Sementara itu, perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari ini dikeluarkan Majistret Nur Amalina Abd. Rahman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi ini.
Semalam, kedua-dua suspek terbabit direman selama sehari untuk membantu siasatan salah guna kuasa dengan meluluskan bayaran kira-kira RM600,000 sebagai bayaran mengumpul dana institusi pusat pendidikan dan dakwah tersebut tanpa kelulusan rakan kongsi lain. – UTUSAN











