Nadzmi Adhwa kongsi detik cemas, dengar bunyi tembakan di Syria - Utusan Malaysia

Nadzmi Adhwa kongsi detik cemas, dengar bunyi tembakan di Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Nadzmi Adhwa, berkongsi detik cemas semasa menyertai misi kemanusiaan, Ramadan Winter Mission di bumi Syria, baru-baru ini.

Menurut Nadzmi, 32, ketika itu dia terdengar bunyi dentuman kuat yang pada asalnya disangka mercun sebelum menyedari ia adalah bunyi senjata api berikutab mereka berada di zon konflik.

“Ingatkan orang tengah main mercun macam dekat Malaysia, sekali bunyi senapang AK-47 dia tengah tembak ke langit.

“Tersentak kejap. Lupa pula kami dekat Syria, bukan Malaysia. Cepat-cepat lari masuk van,” tulisnya menerusi satu hantaran di media sosial.

Kehadiran pelakon itu ke Syria adalah bagi menjayakan misi bantuan musim sejuk dan Ramadan bertujuan menghantar bekalan makanan serta kit ibadah kepada saudara seakidah di sana.

Selain mengagihkan bantuan, Nadzmi bersama pasukan sukarelawan turut terlibat secara langsung dalam menyediakan hidangan sahur dan berbuka puasa buat pelarian di kem-kem yang serba kekurangan.

Dalam perkongsian yang sama melalui aplikasi Threads, Nadzmi memaklumkan bahawa beliau sempat menyantuni pelarian di Kem Yarmouk yang menempatkan kira-kira 6,000 keluarga.

“Misi kali ini adalah untuk menghantar bantuan bekalan makanan, kit ibadah dan juga memasak makanan sahur serta berbuka puasa untuk saudara kita di sana.

“Kami juga menghantar bantuan ke kem pelarian Yarmouk yang menempatkan 6,000 keluarga,” tambahnya lagi di hantaran berbeza.

Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada peminat yang rata-ratanya mendoakan keselamatan Nadzmi dan seluruh pasukan misi agar segala urusan dipermudahkan serta dilindungi sepanjang berada di bumi Syria.

“Allahu, semoga abang dilindungi,” doa satu peminat.

”Jaga diri di sana, semoga Allah memudahkan segala urusan,” tulis satu komen.

”Hati-hati di sana, kami baru nak berbuka puasa,” tulis satu komen. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN