PETALING JAYA: Kekayaan keseluruhan 50 individu terkaya di Malaysia meningkat hampir 30 peratus kepada AS$116 bilion (RM458 bilion), disokong oleh pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus, pengukuhan ringgit serta tawaran awam permulaan (IPO) yang rancak dengan sejumlah 60 penyenaraian baharu tahun lalu, kata Forbes.
Majalah perniagaan itu berkata, Robert Kuok, 102, kekal sebagai individu terkaya negara ini dengan mencatat peningkatan kekayaan 19 peratus kepada AS$13.6 bilion (RM53.79 bilion) melalui kepentingannya dalam Kumpulan Kuok merangkumi pelbagai sektor termasuk agribisnes, hospitaliti dan pusat data.
Katanya, Koon Poh Keong bersama adik-beradiknya yang berada di tempat kedua muncul sebagai antara penerima manfaat terbesar tahun ini apabila kekayaan mereka melonjak 80 peratus kepada AS$9.7 bilion (RM38.34 bilion), disokong kenaikan 73 peratus saham Press Metal Aluminium Holdings susulan lonjakan harga aluminium global.
“Adik-beradik Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng pula naik ke tangga ketiga dengan kekayaan bersih AS$8.5 bilion (RM33.6 bilion), disokong pegangan utama dalam IOI Corporation serta portfolio hartanah yang semakin berkembang.
“Kedua-dua tokoh itu turut merancang penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT) di Malaysia dan Singapura, yang dijangka membuka nilai aset kumpulan,” katanya.
Secara keseluruhan, Forbes berkata, seramai 41 individu dalam senarai mencatat peningkatan kekayaan tahun ini, termasuk pengasas 99 Speed Mart Retail Holdings, Lee Thiam Wah yang menyaksikan kekayaan hampir berganda kepada AS$6.7 bilion (RM26.48 bilion).
Jelasnya, rangkaian pasar raya mini itu terus berkembang dengan penambahan 259 cawangan pada 2025, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 3,000 premis di seluruh negara.
“Taikun hartanah, Jeffrey Cheah pula meningkat kekayaan sebanyak 76 peratus kepada AS$5.3 bilion (RM20.95 bilion), didorong perkembangan positif Sunway Group termasuk penyenaraian Sunway Healthcare pada Mac 2026 yang mengumpul AS$732 juta (RM2.89 bilion), IPO terbesar Malaysia dalam hampir sedekad.
“Dua nama baharu turut tersenarai tahun ini iaitu Lee Kar Whatt, pengasas Eco-Shop Marketing, yang tampil di tempat ke-18 dengan kekayaan AS$1.5 bilion (RM5.93 bilion) selepas syarikatnya disenaraikan pada Mei 2025 serta keluarga Tiong di tempat ke-42 dengan AS$655 juta (RM2.59 bilion).
Sementara itu, Forbes berkata, pengasas bersama ViTrox, Chu Jenn Weng kembali tersenarai selepas kekayaan meningkat hasil lonjakan 84 peratus saham syarikat itu dalam tempoh setahun, dipacu permintaan kukuh terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Nilai bersih minimum untuk tersenarai turut meningkat kepada AS$422 juta (RM1.67 bilion) daripada AS$335 juta (RM1.33 juta) tahun sebelumnya.
10 individu terkaya di Malaysia pada 2026
1. Robert Kuok – AS$13.6 bilion (RM53.79 bilion)
2. Koon Poh Keong dan adik-beradik – AS$9.7 bilion (RM38.34 bilion)
3. Lee Yeow Chor dan Yeow Seng – AS$8.5 bilion (RM33.6 bilion)
4. Adik-beradik Teh – AS$7.7 bilion (RM30.44 bilion)
5. Quek Leng Chan – AS$7.5 bilion (RM29.65 bilion)
6. Lee Thiam Wah – AS$6.7 bilion (RM26.48 bilion)
7. Keluarga Krishnan – AS$6.5 bilion (RM25.69 bilion)
8. Jeffrey Cheah – AS$5.3 bilion (RM20.95 bilion)
9. Francis Yeoh dan adik-beradik – AS$4.1 bilion (RM16.2 bilion)
10. Syed Mokhtar Albukhary – AS$3.5 bilion (RM13.84 bilion)










