MyKiosk antara projek ‘gajah putih’ dikenal pasti SPRM

MyKiosk antara projek ‘gajah putih’ dikenal pasti SPRM

MYKIOSK yang dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek MyKiosk dikenal pasti sebagai antara projek ‘gajah putih’ kerana tidak mencapai objektif kerajaan serta menimbulkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat penempatan yang tidak sesuai.

Pelaksanaan kajian keperluan secara menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi antara syor utama dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menambah baik pengurusan serta pelaksanaan projek MyKiosk.

Menurut SPRM, ia antara lima syor dikemukakan untuk penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkaitan pengurusan serta pelaksanaan projek MyKiosk.

“Syor berkenaan meliputi pelaksanaan kajian keperluan secara menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, selain memperkukuh keberhasilan projek MyKiosk Madani melalui penetapan petunjuk prestasi utama (KPI).

“SPRM turut mencadangkan penubuhan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi menilai tahap keberkesanan serta pencapaian pelaksanaan projek tersebut.

“Dua lagi syor melibatkan penambahbaikan Garis Panduan Inisiatif MyKiosk Madani serta pewujudan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap sebagai rujukan operasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua syor itu dibentangkan oleh Timbalan Pengarah I Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Maznah Che Muda kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali serta disaksikan Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd. Zaki Hassan di Putrajaya, semalam.

Menurut SPRM, syor dan cadangan tersebut dibuat susulan isu berkaitan peruntukan kerajaan bagi projek MyKiosk berjumlah RM50 juta pada 2023 dan RM100 juta pada 2024.

“Antara isu utama dikenal pasti adalah ketiadaan kajian keperluan dan mekanisme pemantauan keberhasilan yang komprehensif termasuk KPI.

“Ia juga menjejaskan penilaian impak projek di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zaki berkata, pembentangan tersebut diterima baik dan mendapat persetujuan JKT untuk dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa, ketirisan serta menutup ruang berlakunya jenayah rasuah.

“Langkah ini dijangka dapat memperkukuh pelaksanaan projek MyKiosk agar lebih telus, berfokus dan berakauntabiliti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Fadzli menyambut baik semua cadangan penambahbaikan yang dikemukakan SPRM dan dizahirkan menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola secara bersama antara SPRM dan JKT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN