MV LaLa Raya bukan mahu memperlekeh tetapi bawa mesej satira masyarakat - Pengarah - Utusan Malaysia

MV LaLa Raya bukan mahu memperlekeh tetapi bawa mesej satira masyarakat – Pengarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengarah muzik video (MV) LaLa Raya, Mohd Hisham Saleh,  tampil memberi penjelasan berhubung karya arahannya yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan penonton di media sosial sejak ia dilancarkan baru-baru ini.

Menurut Hisham, MV yang menampilkan penyanyi dan pempengaruh, Agy itu bukan bertujuan memperlekeh mana-mana pihak, sebaliknya membawa mesej berbentuk satira terhadap realiti masyarakat hari ini.

Ia terutama apabila ada antara warganet mengandaikan terdapat unsur atau gambaran persis The Last Supper.

Sehubungan itu, Hisham menjelaskan perkara itu sambil mengakui bahawa dia tidak berniat mempermainkan mana-mana pihak.

“Ini mungkin karya paling kontroversi yang pernah saya hasilkan. Namun, niat saya bukan untuk mempermainkan sesiapa, tetapi mahu mencerminkan bagaimana kita kadangkala terlalu hanyut dalam dunia pempengaruh media sosial sehingga menjadikan mereka sebagai ‘tunjang’ dalam kehidupan,” katanya di Threads.

Selain itu, Hisham berkata, pendekatan satira dipilih sebagai medium untuk menyampaikan mesej kerana genre tersebut masih jarang diterokai dalam industri seni tempatan, khususnya dalam penghasilan MV bertemakan Aidilfitri.


Pada masa yang sama, Hisham turut memohon maaf sekiranya terdapat pihak yang tersinggung dengan kandungan video tersebut.

“Saya akui ada rakan-rakan yang kurang bersetuju dengan pendekatan ini. Namun, saya tidak mahu sambutan Hari Raya hanya digambarkan sebagai sesuatu yang indah semata-mata tanpa menilai realiti sebenar,” ujarnya.

Mengulas mengenai beberapa babak yang menjadi perhatian, Hisham menjelaskan, penampilan Agy dalam busana Melayu berwarna biru bersama latar individu berpakaian putih merupakan simbolik kepada kemunculan ramai figura agama di media sosial.

“Kita melihat semakin ramai ‘tokoh agama’ muncul di platform digital. Namun, sebagai masyarakat yang masih kurang pengetahuan, kita kadangkala mudah mempercayai dan mengikuti tanpa menyemak kesahihan,” jelasnya.

Selain itu, dia turut menyentuh fenomena masyarakat yang terlalu terpengaruh dengan budaya pempengaruh sehingga mengukur kejayaan hidup berdasarkan populariti di media sosial.

“Kita seolah-olah semua menjadi pencipta kandungan. Kita mengikuti mereka, merasakan mereka seperti rakan, sedangkan hakikatnya kita tidak mengenali mereka. Ukuran kejayaan pula dilihat melalui jumlah tontonan, tanda suka dan perkongsian.

“Selain itu ada juga elemen yang memaparkan ketaksuban melampau terhadap pempengaruh sehingga mengaburkan sempadan antara perasaan suka dan benci,”katanya.

Dalam masa sama, MV tersebut turut menyentuh sikap segelintir masyarakat yang lebih mementingkan aspek duniawi dalam menyambut Aidilfitri, seperti persiapan pakaian baharu, berbanding penghayatan sebenar perayaan itu.

“Kita sanggup berjaga malam demi persiapan luaran. Malah, apabila melakukan kebaikan seperti bersedekah atau berdepan dengan kematian, ada yang memilih untuk memuat naiknya di media sosial sehingga timbul unsur riak,” ujarnya.

Bagaimanapun, Hisham menegaskan segala mesej yang disampaikan adalah untuk membuka ruang refleksi kepada masyarakat, bukannya untuk menghakimi.

“Segala yang baik datang daripada Allah, manakala segala kekurangan adalah daripada saya. Insya-Allah, saya akan terus memperbaiki karya pada masa hadapan.

“Sebagai pembikin filem, setiap tahun video muzik raya sering memaparkan perkara yang sama. Kita terlalu meromantiskan Hari Raya seolah-olah semuanya sempurna, sedangkan kita tahu hakikatnya tidak lagi begitu.

“Kita mempunyai banyak filem dan iklan yang sentiasa membuatkan kita berasa hangat tentang Hari Raya, tetapi kita tidak pernah mahu mengakui apa yang sebenarnya tidak kena dengan sambutan tersebut,”ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN