Mohd. Nasaruddin dalam keadaan tenang

Mohd. Nasaruddin dalam keadaan tenang

MOHD. Nasaruddin M. Nasir (kiri) terselamat dalam insiden tembakan oleh dua individu ketika dalam perjalanan ke Masjid Al-Muhajirin Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berada dalam keadaan baik walaupun beliau hampir ditembak dua lelaki, pagi tadi.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, beliau turun sendiri untuk bertemu Mohd. Nasaruddin dan menilai keadaannya serta keseluruhan warga AKPS Bukit Kayu Hitam.

“Insya-Allah berdasarkan semangat yang saya tengok tadi semuanya berdiri teguh di belakang komander mereka dan Mohd. Nasaruddin pula kalau siapa yang kenal dan tahu beliau datang daripada unit yang sememangnya telah terlatih.

“Perkara ini bukan kata biasa tetapi dia telah terlatih untuk mengawal emosi, mengawal reaksi dan sebagainya, kita nampak beliau tenang dan selamat, malah masih lagi komited dengan kerja di mana itu yang kita mahukan daripada semua pegawai dan anggota di Bukit Kayu Hitam,” katanya.

Beliau mengulas insiden dua tembakan oleh dua individu ke arah Mohd. Nasaruddin yang hampir terkenanya ketika sedang memandu Proton X70 dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin, di sini.

Mohd. Shuhaily berkata, Mohd. Nasaruddin juga ada menyatakan kepada beliau untuk mengetahui pelaku kejadian itu yang kini sedang disiasat rapi oleh pihak polis.

“Saya rasa pihak polis sedang melakukan operasi mengesan seperti mana yang dikatakan oleh Ketua Polis Kedah sendiri pagi tadi, jadi saya amat berterima kasih kerana itu secara tidak langsung akan menambahkan keyakinan anak-anak buah saya di lapangan,” katanya.

Terdahulu, Adzli berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan termasuk mengesan kelongsong peluru di tempat kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian dan kawasan berhampiran.

Suspek dipercayai menggunakan senjata jenis separa automatik berdasarkan kesan serpihan peluru yang pecah dalam kenderaan dinaiki Mohd. Nasaruddin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN