KUBANG PASU: Keaktifan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam memerangi pelbagai kegiatan menyalahi undang-undang di sempadan mungkin menjadi motif serangan komander agensi itu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya akan menyiasat semua elemen termasuk faktor ketidakpuasan hati sindiket terhadap agensi berkenaan atau pasukan penguat kuasa lain.
“Saya percaya dan semua orang pun tahu dalam tahun ini AKPS sendiri telah menzahirkan banyak kejayaan dari segi rampasan, contohnya pada bulan lalu rampasan 100 tan beras, daging khinzir dan sebagainya
“Mungkin ketidakpuasan hati sindiket-sindiket kerana bagi pihak polis pun, kita banyak tangkap kes penyeludupan migran, maknanya yang berpusat di sini sebab itu mangsa adalah Komander AKPS yang bertanggungjawab di atas penugasan beliau di Kompleks ICQS,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 pagi, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir diserang dua lelaki berpistol yang menaiki motosikal yang mengekorinya ketika dalam perjalanan menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Muhajirin, Bukit Kayu Hitam.
Tembakan pertama terkena bahagian pintu belakang sebelah kanan Proton X70 dipandu mangsa, sementara tembakan kedua melintasi beliau yang ketika itu membuka tingkap kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.
Mohd. Nasaruddin tidak mengalami sebarang kecederaan dan cuba mengejar kedua-dua suspek terbabit yang bertindak meloloskan diri ke arah Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini.
Sementara itu, Adzli berkata, pihak polis masih mengesan identiti kedua-dua suspek yang ketika kejadian berpakaian serba hitam dan mengenakan topi keledar berpenutup penuh, manakala lampu motosikal dipadamkan bagi mengaburi mangsa.
“Jarak suspek dengan mangsa ketika tembakan itu dilepaskan hanya kira-kira satu meter dan kedua-dua kenderaan sedang bergerak dari arah sama.
“Kita juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kawasan berhampiran bagi mengenal pasti apa-apa maklumat yang boleh membantu siasatan,” katanya.
Tambah Adzli, polis juga telah melaksanakan Op Tutup bukan sahaja di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam tetapi Durian Burung di Padang Terap.
Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan pistol separa automatik berdasarkan kesan serpihan peluru yang pecah dalam kenderaan dinaiki Mohd. Nasaruddin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang walaupun tiada kecederaan berlaku. – UTUSAN











