PETALING JAYA: Global Sumud Flotilla (GSF) mengumumkan pelancaran flotila kemanusiaan terbesar dalam sejarah yang akan berlepas ke Gaza pada 29 Mac ini.
Sumud Nusantara Official berkata, misi itu melibatkan penyertaan lebih 100 negara yang akan berlepas ke Gaza secara serentak dari pelbagai pelabuhan di seluruh Mediterranean.
Katanya, misi berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 doktor, jururawat dan petugas kesihatan, selain pendidik, jurutera, pasukan pembinaan semula serta penyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap ekosistem.
“Misi tersebut digerakkan dalam usaha kolektif dan tanpa kekerasan terhadap genosid, kepungan, kebuluran besar-besaran serta pemusnahan kehidupan orang awam di Gaza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sumud Nusantara Official, pengumuman berkenaan dibuat di Yayasan Nelson Mandela di Johannesburg, semalam sekali gus meletakkan misi tersebut sebagai kesinambungan warisan solidariti global serta perjuangan sivil tanpa kekerasan.
“Ia bukan sekadar tentang pelayaran. Ia tentang dunia yang bangkit bersama. Ayuh bersama kami membela mereka yang dizalimi,” kata kenyataan itu.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan terlibat secara langsung dalam misi GSF 2.0 yang dijangka membabitkan penyertaan lebih 80 negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembabitan secara langsung dalam misi itu adalah kesinambungan perjuangan moral antarabangsa yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama. – UTUSAN










