SHAH ALAM: Kumpulan meningkat naik, Alpha, kurang senang dengan tindakan segelintir peminat fanatik yang sanggup berperang di media sosial.
Mewakili kumpulan itu, Izzat Ibrahim berpendapat ketiadaan kumpulan lelaki dalam tempoh yang lama di Malaysia menyebabkan peminat berasa sangat teruja dengan kemunculan mereka sehingga ada kalanya timbul perselisihan faham antara mereka.
“Pada saya, kami ini band baharu. Jadi saya rasa keterujaan daripada netizen dan peminat itu sangat meluap-luap. Tambahan pula, sudah lama industri kita tidak mempunyai boy band.
“Bila kami muncul, mereka jadi sangat teruja untuk berjumpa dan mahu sentiasa ada dalam setiap momen kami. Saya rasa pergaduhan itu mungkin berpunca daripada perasaan ‘FOMO’ (takut ketinggalan) selain faktor usia peminat yang datang dari pelbagai peringkat,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Enggan membiarkan keadaan menjadi lebih keruh, Izzat menasihatkan agar peminat menyokong kerjaya mereka dengan cara yang lebih harmoni dan positif.
“Nasihat saya, minatlah secara sihat. Insya-Allah, Alpha akan ada lebih banyak acara dan kemunculan selepas ini. Kami sayang mereka semua dan tidak mahu sesiapa pun terlepas momen bersama kami. Apa yang penting, saling menyokong antara satu sama lain,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, kemenangan dua anugerah di Gempak Most Wanted Awards (GMWA) baru-baru ini turut menjadi jawapan padu kepada segelintir pihak yang meramalkan kumpulan itu hanya akan bertahan selama setahun sebelum dibubarkan.
Tegas Izzat, mereka memilih untuk tidak melayani komen negatif, sebaliknya mahu fokus kepada kualiti kerja dan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.
“Macam apa yang saya selalu cakap, kita ambil pepatah ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’. Kepada para pembenci,kita semua manusia dan kami hanya cuba lakukan yang terbaik.
“Kami hanya ambil tenaga yang positif sahaja. Kalau ada komen negatif yang boleh dijadikan pengajaran, kami belajar. Tapi kalau ia tidak penting untuk mental dan moral, kami cuma ‘kipas’ (tepis) ke tepi. Fokus kami sekarang adalah Alpha, kerjaya dan peminat yang sentiasa menyokong,” katanya. -UTUSAN










