KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice meminta maaf dan ‘menghadiahkan’ sejambak bunga mawar sebagai tanda berdamai dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung konflik yang tercetus antara mereka.
Caprice menyatakan kesediaan berdamai dalam tempoh tujuh hari.
“Kalau beliau sudi, saya terbuka untuk berdamai. Saya harap dalam tempoh tujuh hari kita boleh selesaikan dan teruskan ke hadapan.
“Saya juga meminta maaf dan jangan saman saya. Saya sudah ada banyak saman. Kita seharusnya bekerja sama demi Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Caprice dalam masa sama menghantar notis tuntutan kepada Rafizi supaya menarik balik dan memadam beberapa kenyataan berkaitan dirinya di media sosial sebelum pukul 5 petang, esok.
Menurut Caprice, notis itu antara lain meminta semua hantaran yang didakwa berunsur fitnah diturunkan, dihentikan penyebarannya serta satu permohonan maaf terbuka dibuat.
“Kalau beliau sudi, saya terbuka untuk berdamai. Saya harap dalam tempoh tujuh hari kita boleh selesaikan dan teruskan ke hadapan.
“Saya juga meminta maaf dan jangan saman saya. Saya sudah ada banyak saman. Kita seharusnya berkerjasama demi Malaysia.
“Notis sudah dihantar petang tadi. Antara tuntutan kami ialah tarik balik hantaran, padam semua kenyataan berkaitan dan hentikan apa-apa pernyataan fitnah,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi memaklumkan mengarahkan peguamnya bersiap sedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Caprice gagal mengemukakan bukti atau menarik balik tuduhan tersebut.
Caprice menegaskan, kandungan videonya sebelum ini hanya mengemukakan persoalan berhubung kemungkinan konflik berkepentingan antara Rafizi dengan individu tertentu dan bukan tuduhan rasuah atau jumlah seperti yang dinyatakan Rafizi.
Jelasnya, persoalan yang dikemukakannya timbul selepas menerima maklumat dan dokumen sulit termasuk maklumat berkaitan individu bernama Lee Choo Boo dan kaitannya dengan sebuah syarikat bersama Rafizi.
“Saya tak pernah sebut rasuah atau angka tertentu (RM2.6 bilion). Satu-satunya soalan saya cuma adakah ini konflik berkepentingan antara Rafizi dan individu bernama Lee Choo Boo. Ya atau tidak?
“Kalau memang tidak ada hubungan atau isu, saya takkan ambil perkara ini. Saya cuma mahu penjelasan yang jelas tentang hubungan mereka dan maklumat yang diberikan.
“Sekarang ramai kata saya tuduh perkara berat. Saya tak pernah cakap begitu. Sebab itu saya perlu jawab supaya semua faham apa sebenarnya yang saya tanya,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tidak berniat menjatuhkan mana-mana pihak dan hanya menjalankan peranannya mengemukakan soalan terhadap isu yang dianggap relevan.
“Niat saya tak pernah nak jatuhkan sesiapa. Saya cuma tanya soalan. Saya suka kerja saya tak kisah isu apa, saya tetap tanya dan ulas. Kenapa kita tidak boleh soal Rafizi?
“Jangan heret saya dalam perang politik. Saya harap semua pihak boleh bertenang dan kita selesaikan secara baik,” katanya.
Dalam pada itu, peguam Caprice, Rezan Ezra Muhammad Mosinal berkata, mereka masih belum menerima sebarang maklum balas daripada Rafizi, namun menjangkakan jawapan akan diberikan dalam masa terdekat.
“Saya boleh sahkan notis sudah dihantar, belum ada respon daripada Rafizi tetapi saya jangka respons akan datang. Kami minta jawapan segera dan minta semua hantaran ditarik balik sebelum 5 petang esok.
“Jika tuntutan tersebut gagal dipenuhi, kami akan meneruskan prosedur undang-undang yang sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










