KUALA LUMPUR: Pelakon, Sophia Albarakbah mengakui emosinya terganggu sepanjang menjayakan watak Sheila, seorang isteri yang dikhianati suami dalam drama popularnya, Bisik Asmara.
Menurut Sophia, perasaan itu terbawa-bawa kerana terlaluy menjiwai karakter Sheila yang digambarkan sebagai seorang wanita yang menanggung bebanan hidup yang cukup besar selepas melalui hubungan jarak jauh dengan suami.
“Agak susah sebenarnya untuk saya membawakan watak Sheila itu. Sebagai pelakon, apabila kita sudah berada dalam ‘kasut’ watak tersebut, kita akan mengalami perasaan yang berbeza-beza.
“Kebetulan bila bawa watak Sheila, saya rasa sangat sedih. Mungkin disebabkan faktor cara hidup watak itu sendiri iaitu dia seorang guru, terpaksa melalui hubungan jarak jauh (PJJ) dengan suami, mempunyai ibu yang menghidap Alzheimer, manakala kakaknya pula tidak membantu.
“Situasi itu membuatkan Sheila menjadi seorang yang sangat murung,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah Sophia, kesan emosi watak tersebut kadangkala terbawa-bawa sehingga ke luar set penggambaran, terutama apabila dia bersendirian.
“Tidaklah sehingga mengganggu kehidupan harian secara keterlaluan, tetapi apabila saya bersendirian, perasaan sedih dan murung itu akan muncul. Saya perlukan sedikit masa untuk berehat dan kembali pulih daripada emosi tersebut,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai kritikan segelintir penonton yang menyifatkan Sheila sebagai watak wanita lemah, pelakon ini mempunyai perspektif yang berbeza.
Bagi Sophia, Sheila adalah simbol kekuatan seorang wanita yang terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian dalam satu masa.
“Mungkin nampak lemah dari satu sudut, tetapi tidak pada keseluruhannya. Dia sebenarnya kuat kerana mampu berjauhan dengan suami, menjaga ibu yang sakit dan dalam masa sama memikul tanggungjawab sebagai guru.
“Banyak bebanan yang perlu ditanggungnya sendiri. Saya percaya, di luar sana ramai wanita yang sebenarnya melalui nasib yang sama seperti Sheila,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai gandingannya bersama pelakon kacak, Zul Ariffin yang memegang watak Farhan, Sophia mengakui pada mulanya dia berasa agak gerun untuk mendekati aktor tersebut.
“Mula-mula jumpa, memang rasa gerun sebab dia berbadan besar dan suaranya garau. Tambahan pula saya tidak pernah berlakon dengannya sebelum ini.
“Tetapi apabila sudah masuk ke set, dia sebenarnya tidak menakutkan langsung. Dia seorang yang sangat kelakar, ceria dan memudahkan urusan kerja. Dia berjaya menghidupkan watak Farhan sebagai suami yang baik pada mulanya, sebelum membuatkan semua penonton berasa curiga,” katanya.
Menambah keterujaan penonton, Sophia mendedahkan bahawa drama tersebut mempunyai dua versi pengakhiran yang telah dirakamkan.
“Kami diberikan dua pengakhiran berbeza dan kedua-duanya telah dilakonkan. Terpulang kepada pihak produksi untuk memilih babak mana yang akan ditayangkan.
“Kami sendiri sebagai pelakon pun tertunggu-tunggu apakah kejutan yang bakal diberikan nanti,” katanya.
Terdahulu, drama Bisik Asmara menjadi antara naskhah yang mencuri tumpuan mengisahkan tentang kecurangan suami yang tinggal berjauhan dengan isteri. -UTUSAN










