BESUT: Seorang lelaki yang sedang dalam perjalanan ke hospital meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terlibat kemalangan di sini, hari ini sebelum sampai ke destinasi dituju.
Anisah Ibrahim, 48, berkata, suaminya, Fakrurozi Yusof, 54, mengadu mengalami sakit dada sebelum dia dan dua anak serta seorang rakan anaknya membawa Allahyarham ke Hospital Besut.
Katanya, ketika dalam perjalanan ke hospital, kereta jenis Proton Saga FLX dinaiki mereka terlibat kemalangan kira-kira pukul 3.35 pagi.
“Kereta dinaiki mereka terbabas dan melanggar paip di tepi jalan sebelum masuk ke dalam longkang berkedalaman kira-kira satu meter.
“Kemalangan itu mengakibatkan suami saya yang berada di bahagian kerusi penumpang belakang terjatuh keluar manakala seorang anak kami dan rakannya turut tercedera,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Besut, di sini hari ini.
Katanya, Fakrurozi disahkan meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung tidak lama selepas kejadian itu.
Anisah berkata, selain masalah jantung suaminya menderita masalah sakit saraf separuh badan sejak lima tahun lalu.
“Semalam saya lihat Allahyarham sangat teruja untuk melaksanakan ibadah puasa hari ini dan meminta bersahur dengan baki lauk malam tadi. Dia juga menelefon rakan karibnya dan bercerita hasratnya untuk berpuasa pada hari ini meskipun kesihatannya agak uzur,” katanya. – UTUSAN










