PETALING JAYA: Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menafikan diboikot oleh orang ramai ekoran beberapa insiden khususnya melibatkan warga emas yang dikatakan ditegur secara terbuka jemaah sehingga menimbulkan rasa kurang senang.
Pengerusi masjid, Datuk Mohd. Fadzli Yusof berkata, tidak timbul isu suasana lengang seperti mana gambar tular di media sosial berikutan kebanyakan jemaah mula hadir memenuhi masjid bermula pukul 7 malam.
Katanya, ia susulan tular video kelmarin dalam Threas menunjukkan ruang berbuka puasa di dalam masjid itu lengang walaupun pek makanan sudah disusun di atas tikar.
“Dakwaan itu tidak benar berikutan kira-kira 800 hingga 1,000 individu hadir ke masjid itu sejak awal Ramadan lalu.
“Ada ketikanya, pihak masjid terpaksa menempah makanan tambahan bagi menampung jumlah jemaah yang hadir di luar jangkaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Fadzli berkata, pihak masjid telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan tahun ini.
Katanya, setiap hari diadakan kuliah subuh, kuliah maghrib, kuliah dhuha dan kuliah zohor muslimat selain merencana perancangan terbaik untuk ahli kariah, terutamanya mereka yang melazimi solat berjemaah di masjid.
“Bukan itu sahaja, pihak masjid mengambil berat mengenai kehadiran belia dan kanak-kanak ke masjid sebagai generasi pelapis yang mengimarahkan masjid.
“Justeru, pihak masjid telah merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni golongan belia dan kanak-kanak.
“Antaranya ialah kelas mengaji al-Quran mingguan untuk remaja dan kanak-kanak, Hari Kanak-Kanak peringkat masjid, program Khatan Perdana, program Kids Zone sepanjang Ramadan serta program Semarak Cinta al-Quran: Cilik Cinta al-Quran,” katanya.
Mohd. Fadzli berkata, pihak masjid memastikan segala hal ehwal pengurusan adalah berdasarkan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019.
Katanya, hal ehwal pengurusan kewangan masjid pula adalah berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan, manakala pengurusan hal ehwal kematian berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan.
“Bersempena kemuliaan bulan Ramadan, pihak masjid menyeru semua pihak agar menjadikan Ramadan kali ini sebagai satu manifestasi kehambaan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Raikan kepelbagaian dalam perbezaan untuk menyemai kesatuan dalam titik persamaan,” katanya. – UTUSAN










