KUALA LUMPUR: Pengadu atau mangsa yang hadir ke balai polis bagi kes kecemasan dan situasi memerlukan tindakan segera kini diberikan kelonggaran daripada pematuhan etika berpakaian.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, melalui surat edaran bertarikh 29 Disember lepas, ketetapan itu berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan hak pengadu atau mangsa dalam kes-kes memerlukan perhatian segera tidak dinafikan.
Katanya, pengecualian pematuhan etika berpakaian diberikan khususnya dalam kes jenayah, kemalangan jalan raya, ancaman keselamatan serta kes tertentu yang berpotensi menimbulkan tekanan emosi atau trauma seperti rogol, samun, cabul dan keganasan rumah tangga.
“Dalam keadaan sedemikian, kebajikan dan keselamatan pengadu adalah keutamaan dan tidak seharusnya dihalang oleh isu pematuhan etika berpakaian.
“Maklumat berhubung ketetapan ini telah disampaikan kepada semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) melalui surat edaran Jabatan Pengurusan PDRM bertarikh 29 Disember 2025.
“Langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan yang seragam, jelas dan difahami semua pegawai terlibat serta berkuat kuasa di seluruh negara,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung cadangan memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan semua balai polis menerima laporan tanpa mengambil kira keadaan pakaian pengadu.
Shamsul Anuar berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpandangan arahan pentadbiran sedia ada mencukupi dan tiada keperluan menggubal undang-undang baharu.
“Arahan itu selaras dengan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 1 Tahun 2025 mengenai pemantapan pengurusan perhubungan pelanggan sektor awam.
“Ia membolehkan kementerian dan agensi kerajaan menetapkan etika pemakaian bersesuaian mengikut fungsi serta keperluan perkhidmatan masing-masing terutama di kaunter dan pejabat,” katanya. – UTUSAN










