KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai sebarang pertikaian dengan empat negara jiran iaitu Filipina, Indonesia, Singapura dan Thailand berhubung isu persempadanan darat, maritim serta udara.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebaliknya berkata, rundingan yang sedang dijalankan adalah bertujuan menetapkan sempadan antara Malaysia dengan negara jiran lain.
“Frasa pertikaian itu, (sebenarnya) kita tak mempunyai pertikaian dengan mana-mana pihak. Kita tak bergaduh dengan mana-mana pihak. Tetapi ia proses rundingan penetapan sempadan.
“Kerajaan komited untuk memuktamadkan penandaan di lapangan serta pengukuran garis sempadan di sektor-sektor strategik bagi menjamin kedaulatan wilayah dan integriti sempadan negara selaras dengan perjanjian antarabangsa,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Mustafa Musa mengenai isu teknikal dan diplomatik dalam proses penetapan sempadan pertikaian antara Malaysia dengan Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan China agar penguatkuasaan zon maritim, udara dan darat lebih berkesan serta sifar pencerobohan.
Menurut Mohamad, penetapan sempadan itu dilaksanakan menerusi mekanisme jawatankuasa peringkat tinggi dan teknikal yang diterajui bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mengulas penetapan sempadan dengan Indonesia, beliau berkata, urusan penandaan dan pengukuran sempadan di lapangan dilaksanakan berpandukan tiga perjanjian lama.
Katanya, selain Konvensyen Persempadanan antara British dan Belanda ditandatangani di London pada 20 Jun 1891, dua lagi ialah Perjanjian Persempadanan antara Kerajaan British dan Kerajaan Belanda di London pada 28 September 1915 dan Konvensyen Persempadanan Kerajaan British dan Belanda pada 26 Mac 1928.
“Ingin saya tegaskan bahawa urusan penandaan dan pengukuran sempadan di lapangan dilaksanakan berpandukan perjanjian-perjanjian tadi.
“Penandaan ini tidak berdasarkan konsep untung rugi. Kita tak berasaskan untung rugi, siapa dapat lebih, siapa dapat kurang. Ia berasaskan konvensyen yang saya sebutkan tadi pada 1891, 1915, dan 1928. Itu asas yang kita buat.
“Apa yang kita lakukan sekarang ialah mengukur di lapangan. Kita ukur di lapangan ikut konvensyen-konvensyen dan perjanjian yang saya sebutkan tadi. Ia satu proses teknikal bagi mengabsahkan kedaulatan wilayah mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, hubungan persempadanan dengan Singapura memfokuskan kepada usaha mengambil semula kedaulatan ruang udara secara berfasa serta kesinambungan rundingan bagi memuktamadkan Persempadanan Maritim yang masih tertunggak.
Katanya, Malaysia menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) komited untuk mengambil semula pengurusan trafik udara di selatan Kuala Lumpur (KLFIR) daripada Singapura.
“Sekarang ini Singapura yang kawal betul-betul. Kita nak terbang pergi Sabah dan Sarawak pun kena minta kebenaran mereka. Itu untuk pengetahuanlah. Kita lupa dulu nak ambil bila Malaysia dan Singapura berpisah.
“Sekarang kita mahu ambil balik. Jadi kita ambil berfasa-fasalah. Kita ambil fasa H dulu, iaitu yang mana nak pergi daripada Semenanjung nak pergi ke Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN










