PETALING JAYA: Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia pada 2025 meningkat, selepas dua tahun berturut-turut kekal pada kedudukan yang sama.
Berdasarkan laporan CPI 2025 dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M), Malaysia kini berada di kedudukan ke-54 paling kurang rasuah dalam kalangan 182 negara dan wilayah yang dinilai berbanding kedudukan ke-57 sejak 2023.
Skor turut menunjukkan peningkatan apabila Malaysia mencatat 52 mata, berbanding 50 mata pada tahun 2023 dan 2024.
Presiden TI-M, Raymon Ram berkata, penilaian itu berdasarkan 13 kajian dan penilaian pakar, yang mengukur persepsi tahap rasuah sektor awam di 182 negara dan wilayah di seluruh dunia.
“Ini menunjukkan peningkatan sederhana tetapi memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini juga membuktikan usaha pencegahan antirasuah, tindakan penguatkuasaan dan komitmen tadbir urus diiktiraf pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raymon berkata, antara faktor menyumbang peningkatan skor CPI negara bagi tempoh 2025 termasuk pengenalan Akta Tanggungjawab Kewangan dan Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 yang memperluaskan pengawasan Ketua Audit Negara ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Selain itu katanya pengawasan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan pengenalan ketelusan pemunyaan benefisial melalui Akta Syarikat (Pindaan) 2024.
Katanya, tindakan penguatkuasaan berterusan terhadap pegawai kanan awam dan ahli politik elit serta cadangan undang-undang baharu seperti rang undang-undang (RUU) Perolehan Kerajaan dan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat turut menyumbang kepada peningkatan itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat kelemahan ketara khususnya daripada segi kelajuan dan keperincian reformasi institusi serta perundangan.
“Antara kebimbangan utama TI-M, adalah risiko rasuah dalam perolehan kerajaan berskala besar dan berisiko tinggi jika kuasa budi bicara tidak diperketatkan serta pemantauan bebas tidak diinstitusikan sepenuhnya.
“Peningkatan awal CPI harus dilihat sebagai isyarat potensi, bukan perubahan sistemik. Tanpa pelaksanaan berkesan, retorik dan komitmen dasar akan kehilangan kredibiliti,” katanya.
Menerusi indeks CPI 2025, Denmark, Finland dan Singapura mendahului dengan markah yang mencerminkan tadbir urus yang kukuh secara konsisten, mempunyai institusi berintegriti dan berakauntabiliti, masing-masing dengan skor 89 mata, 88 mata dan 84 mata. – UTUSAN










