PETALING JAYA: Seramai 100,000 pelajar seluruh negara disasarkan menerima akses pembelajaran matematik Program Licensing Math Expert menerusi bimbingan terus daripada pakar pendidikan tempatan.
Pengetua Aster Edu, Shahrin Zikri berkata, program itu hasil kerjasama empat individu berpengalaman dalam bidang pendidikan khususnya pengajaran matematik, pembangunan modul pembelajaran dan pengurusan pusat tuisyen.
Aster Edu yang terbabit sebagai antara penganjur berkata, akses berkenaan dapat mewujudkan ekosistem pembelajaran digital dibangunkan secara sistematik merangkumi kandungan akademik, kaedah pengajaran serta struktur perniagaan
“Gabungan empat pakar pendidikan tempatan memperkenalkan satu inisiatif baharu menerusi program Licensing Math Expert yang dilihat mampu membuka peluang lebih luas kepada usahawan tuisyen untuk menceburi dan mengembangkan perniagaan dalam sektor pendidikan digital.
“Program berasaskan perlesenan itu diwujudkan sebagai respons kepada perubahan landskap pendidikan yang semakin bergantung kepada teknologi digital, selain keperluan untuk menyediakan model pembelajaran yang lebih fleksibel, tersusun dan mudah diakses oleh pelajar di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program itu direka bagi membantu pengusaha tuisyen, guru persendirian dan pendidik bebas untuk menukar perkhidmatan sedia ada kepada model tuisyen digital berlesen, tanpa perlu membina sistem dari awal.
Melalui program ini, pemegang lesen berpeluang menggunakan modul pembelajaran yang telah distrukturkan, sistem sokongan operasi serta panduan pemasaran digital bagi mengembangkan perniagaan masing-masing. – UTUSAN










