PETALING JAYA: Kritikan terhadap institusi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti bersifat membina, berpaksikan fakta dan tidak dijadikan alat untuk mengalihkan perhatian daripada siasatan atau agenda politik sempit.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, SPRM adalah institusi strategik negara yang mesti dipertahankan, diperkasakan dan dilindungi daripada polemik politik berlebihan yang boleh menjejaskan keyakinan awam serta keberkesanan penguatkuasaan.
Katanya, SPRM juga sepatutnya perlu diperkasa, bukan dipolitikkan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki perlu dilindungi daripada serangan tidak berasas.
“Reformasi institusi mesti dilakukan secara berperingkat, berhemah dan berlandaskan undang-undang
“MCW akan terus berdiri bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah, sambil mengekalkan peranan kami sebagai pemantau bebas yang adil, bertanggungjawab dan berprinsip demi kepentingan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini pelbagai pihak mengkritik dan mendesak agar Azam digantung bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung isu pemilikan saham yang didakwa melanggar peraturan penjawat awam.
Ia ekoran laporan media antarabangsa Bloomberg sebelum ini yang mendedahkan pemilikan 17.7 juta saham oleh Azam dalam sebuah syarikat senaraian awam, Velocity Capital Partners Berhad, dengan nilai dianggarkan sekitar RM800,000 berdasarkan harga semasa.
Dalam pada itu, Jais mengulas berkenaan cadangan penubuhan jawatankuasa baharu untuk memantau SPRM seperti yang dibangkitkan Nurul Izzah Anwar berkata, ia perlu dilihat secara objektif dan berlandaskan realiti struktur sedia ada dan bukannya diasaskan kepada persepsi bahawa agensi tersebut gagal atau tidak berfungsi.
“Hakikatnya, SPRM sudah mempunyai mekanisme semak dan imbang yang komprehensif, termasuk Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA), serta panel-panel operasi dan pencegahan yang berfungsi mengikut kerangka undang-undang dan pentadbiran.
“Mempertikaikan SPRM secara terbuka tanpa bukti muktamad hanya akan melemahkan institusi, memberi kelebihan kepada pihak yang sedang disiasat, dan merosakkan moral pegawai-pegawai SPRM yang bekerja dalam keadaan tekanan tinggi serta risiko keselamatan,” jelasnya.- UTUSAN










