PETALING JAYA: Pasukan Tindakan Kecemasan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (CDERT-APM), Team Amal Kazuko melaksanakan Misi Bantuan Bencana Banjir Bandang dengan menyalurkan bakul makanan kepada lebih 100 keluarga terjejas.
Misi bantuan tersebut diketuai Datin Seri Intan Abdul Hamid itu bertujuan meringankan beban mangsa susulan kemusnahan rumah, tanah pertanian dan gangguan bekalan air bersih.
Katanya, semua bantuan berkenaan merupakan hasil sumbangan ikhlas rakyat Malaysia melalui pasukan Amal Kazuko bagi mencerminkan semangat kemanusiaan serta solidariti Malaysia-Indonesia sebagai negara serumpun.
“Keadaan di sini sangat sedih dan menyayat hati. Kami bertemu dengan seorang warga emas yang rumahnya musnah sepenuhnya. Dalam keadaan seperti ini, kami sendiri sukar untuk berkata-kata. Kami hadir untuk memberikan sedikit bantuan walaupun kami sedar ia tidak akan pernah mencukupi berbanding kemusnahan yang dialami,” katanya.
“Alhamdulillah kami berpeluang melihat sendiri keadaan mangsa di sini. Semua infak yang disalurkan adalah seikhlas hati dan mengikut kemampuan kami. Kami berharap keluarga yang terjejas dapat reda dengan ujian ini. Sebagai manusia, kita hanya mampu berusaha setakat yang termampu,” katanya.
Bantuan tersebut disalurkan di di Desa Limau Badak dan Toboh Malalak, Kabupaten Agam.
Sementara itu, Ketua Dewan Pimpinan Daerah (DPD) Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Agam, Fadli Rahmadi berkata, bencana itu telah mengakibatkan kemusnahan besar kepada penduduk tempatan.
“Enam rumah hanyut, dua lagi rosak teruk, manakala tanah pertanian penduduk musnah sepenuhnya. Masih banyak sisa lumpur, bongkah batu besar dan tanah liat berselerak di mana-mana. Bekalan air bersih turut terputus, menyebabkan ramai penduduk tidak mendapat akses air di rumah mereka,” katanya.
Katanya, usaha pemulihan sedang giat dijalankan melalui kerjasama antara kerajaan Indonesia dan NGO tempatan serta antarabangsa.
“Alhamdulillah, hari ini kami turut dibantu oleh NGO dari Malaysia. Ini benar-benar luar biasa dan menyentuh hati semangat dari negeri jiran untuk membantu saudara mereka wajar dipuji,” katanya.
Turut serta adalah barisan kepimpinan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan IPPA APM, YS Kol. (PA) Effendy Ali; Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi IPPA APM, YS Kol. (PA) Mohd Adzhar Mujab; serta Pengarah APM Wilayah Persekutuan, Kol. (PA) Mohd Rosman Abdullah.
Selain itu, misi ini turut menerima sumbangan daripada Mubassyir Travel & Tours Sdn Bhd dan Federal Power Sdn Bhd.-UTUSAN










