MAIS kekal larang guna imam luar negara solat terawih Ramadan ini

MAIS kekal larang guna imam luar negara solat tarawih Ramadan ini

SALEHUDDIN Saidin menyampaikan Sijil Tamat Hafazan 30 Juzuk kepada pelajar di Maahad Tahfiz Kiblah, Sepang. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terus mengekalkan larangan dan sekatan bagi melarang mana-mana imam luar negara untuk menjadi imam solat tarawih di masjid dan surau di seluruh Selangor sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, peraturan itu telah termaktub dan telah dikuatkuasakan sejak 2015 lagi.

Beliau berkata, keputusan dibuat MAIS itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang prihatin dengan keupayaan anak-anak tahfiz tempatan terutama di Selangor.

“MAIS dan Sultan Selangor amat prihatin atas perkara ini kerana kita ada ramai anak-anak tahfiz tempatan dan mereka amat mahir dalam hafazan Al-Quran.

“Kenapa kita perlu mengimport imam dari luar negara dan membayar imam luar sedangkan kita mempunyai pelajar tahfiz sendiri.

“Kenapa tidak guna kesempatan itu dan beri peluang kepada anak-anak tempatan serta mendedahkan mereka untuk menjadi imam pada usia muda, lagipun ia dapat bantu kewangan mereka,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Hafazan Al-Quran 30 Juzuk dan Sijil Kemahiran Malaysia Pengajaran Tahfiz 2025 di sini hari ini.

Katanya, terdapat lebih 2,000 surau dan l400 masjid di negeri ini dan pelajar tahfiz ini boleh diberi peluang serta mampu memakmurkan masjid dan surau dengan lebih berkesan.

Salehuddin berkata, anak-anak tahfiz tempatan juga mempunyai bacaan yang baik dan kenapa tidak mereka juga diberi peluang yang sama.

Sejak 2015, MAIS mengekalkan larangan penggunaan imam luar negara (imam import) untuk solat tarawih di masjid dan surau di Selangor bertujuan mengutamakan huffaz tempatan, mengatasi isu perbezaan mazhab dan mengelakkan kutipan derma tidak sah oleh pihak luar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN