GOMBAK: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menangkap dan memenjarakan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan paling tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam sepanjang tempoh lawatan rasmi Perdana Menteri India, Narendra Modi bermula hari ini.
Katanya, setiap individu berhak mengemukakan pandangan dan kritikan kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara, namun sebarang tindakan yang melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum akan berdepan tindakan tegas.
“Nak beri pandangan boleh, nak kritik pun boleh. Tetapi jika kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum. Tangkap mereka dan humban mereka ke dalam penjara.
“Usaha dakwah atau pembinaan rumah ibadat boleh dilakukan mengikut saluran yang betul, tetapi tidak boleh disertai unsur hasutan kebencian terhadap kaum atau agama lain serta tidak boleh melanggar undang-undang,” kataya ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Selangor, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, setiap individu tidak boleh bertindak seolah-olah mereka adalah hakim atau polis dan sebarang cubaan mengambil alih peranan penguat kuasa undang-undang akan dikenakan tindakan tegas.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pembinaan kuil haram termasuk masjid, gereja yang perlu dibina ikut undang-undang.
“Isu agama tidak boleh dipersendakan sehingga menimbulkan kebencian dan pelanggaran peraturan hanya akan menambah masalah serta menyemarakkan permusuhan.
“Orang ramai boleh mengemukakan memorandum bantahan sekiranya tidak bersetuju dengan pembinaan sesuatu rumah ibadat di sesuatu kawasan.
“Arahan tegas terpaksa dikeluarkan kerana sebelum ini terlalu banyak pelanggaran peraturan dibiarkan sehingga ada pihak cuba menjadi ‘hero’ agama dengan pergi ke kawasan rumah ibadat kaum lain sehingga mencetuskan ketegangan,” katanya.
Semalam, penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram Zamri Vinoth mengesahkan bahawa polis telah dimaklumkan tentang Himpunan Anti Rumah Anutan Haram seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Seramai 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula pukul 8 malam ini berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur bagi memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dikuatkuasakan.-UTUSAN










