PETALING JAYA: Seramai 12,112 golongan asnaf dan fakir miskin bakal menerima sumbangan untuk memberi makanan dan barangan keperluan sempena Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.
Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, pihaknya memperuntukkan sumbangan Bantuan Fitrah bagi 2026 berjumlah RM6,056,000 bagi meringankan beban penerima.
Menurutnya, simbolik pelancaran itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Majlis Iftar Jamaie yang melibatkan Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.
“Di majlis tersebut, Raja Muda Perlis menitahkan agar setiap jawatankuasa MAIPs memainkan peranan yang saling melengkapi dalam memperkukuh dan mempertingkatkan ekosistem tadbir urus Islam di Perlis ke tahap yang lebih cemerlang dan berdaya saing.
“Baginda turut menekankan bahawa usaha memperkasa pengurusan zakat dan wakaf secara lebih berimpak, memperluas pembangunan pendidikan serta latihan asnaf secara mampan dan memodenkan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan akan memberi kesan langsung terhadap peningkatan taraf hidup golongan asnaf,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Turut berangkat sama ke majlis tersebut adalah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda puteri, Sharifah Khatreena Nuraniah dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Mengulas lanjut, MAIPs berkata, inisiatif-inisiatif itu diyakini mampu mempercepatkan usaha ke arah pembasmian kemiskinan sepenuhnya di Perlis dalam tempoh yang lebih singkat.
Katanya, Tuanku Syed Faizuddin bertitah bahawa pengukuhan institusi pendidikan dan kebajikan Islam membuktikan kesungguhan MAIPs untuk terus bergerak seiring dengan tuntutan masa tanpa mengabaikan prinsip Syariah dan nilai-nilai tradisi yang menjadi teras kekuatan institusi Islam di Perlis.
“Selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs, baginda turut berkenan menyempurnakan Sesi Kurniaan Tauliah dan penyampaian Perutusan Lantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) di bawah MAIPs bagi 2026 hingga 2027 di majlis tersebut,” katanya. – UTUSAN











