PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad agar hakim yang mendengar kes saman fitnahnya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik diri daripada terus mendengar prosiding tersebut.
Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Dr. Choo Kah Sing yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Ong Chee Kwan.
Pada prosiding hari ini, Dzulkefly selaku plaintif diwakili oleh peguam Stanley Sinnapen manakala responden (Najib) diwakili oleh peguam Muhammad Farhan Shafee.
Ini bermakna, kes saman berhubung komen berkaitan isu kronisme yang sebelum ini didengar oleh Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi akan didengar di depan hakim lain.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak selama sejam, Hakim Kah Sing menyatakan, pertikaian utama dalam rayuan tersebut berpunca daripada kenyataan yang dibuat oleh Arziah ketika sesi pengurusan kes.
Mahkamah turut menyatakan, Arziah bukan sahaja menetapkan satu tarikh akhir yang jelas untuk penyelesaian dicapai, malah turut menyatakan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kes itu dibatalkan.
Panel hakim berpandangan, kesan daripada kenyataan tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana pada tahap tertentu, ia mengandungi unsur yang boleh ditafsirkan sebagai menunjukkan kewujudan berat sebelah terhadap plaintif.
“Sekiranya tiada penyelesaian dicapai, tindakan plaintif (Dzulkefly) akan ditolak. Pada tahap tertentu, ini seolah-olah memaksa plaintif untuk mencapai penyelesaian,” katanya ketika membacakan alasan penghakiman ringkas panel terbabit.
Keadaan tersebut, kata Hakim Kah Sing, berlaku tanpa memberi ruang dan peluang sepenuhnya kepada plaintif untuk meneruskan perbicaraan serta mengemukakan kesnya di mahkamah dan akan menimbulkan persoalan tentang keadilan proses perbicaraan itu sendiri.
Bagaimanapun, panel terbabit berkata, hubungan kekeluargaan antara Arziah dan bapanya iaitu bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi tidak mewajarkan penarikan diri Arziah daripada mendengar kes perbicaraan itu.
“Tidak terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan hubungan kekeluargaan tersebut, dalam apa jua cara, menjejaskan pertimbangan bebas Pesuruhjaya Kehakiman itu atau mewujudkan konflik kepentingan yang sebenar,” katanya.
Dzulkefly mengemukakan permohonan itu susulan kenyataan Arziah ketika pengurusan kes pada 7 Mac dan 7 April 2025 yang menunjukkan wujud unsur atau persepi berat sebelah berkaitan kes saman berkenaan.
Plaintif ketika itu mengemukakan alasan hubungan kekeluargaan yang mana Arziah ialah anak Mohamed Apandi yang dilantik Najib pada 2016 yang dikhuatiri menimbulkan kebimbangan munasabah wujudnya unsur berat sebelah jika beliau mendengar perbicaraan kes.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan mendakwa Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya pada 24 Ogos 2020, mengenai isu kronisme berserta satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar wajah plaintif (ketika itu bekas Menteri).
Dakwanya, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat kerajaan atau swasta.
Plaintif mendakwa, Najib menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkannya dan ia adalah bermotifkan politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah serta menjejaskan reputasinya.
Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran itu dalam sebarang cara.
Plaintif turut memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Bagaimanapun, Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.
Najib mendakwa terbitan itu merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), oleh itu tiada sebarang fitnah telah dibuat terhadap plaintif. – UTUSAN







