GEORGE TOWN : Pelaksanaan sistem ‘autogate’ atau National Integrated Immigration System (NIISe) di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) bermula hari ini mendapat sambutan yang luar biasa daripada orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, dalam tempoh sembilan jam sahaja iaitu selepas memulakan operasi kira-kira pukul 6 pagi sehingga 3 petang tadi, lebih 1,800 pelawat termasuk warga asing telah menggunakan kemudahan tersebut bagi urusan keluar masuk di lapangan terbang itu.
“Kita dapati, susulan pelaksanaan sistem ‘autogate’ ini, barisan menunggu telah menjadi lebih pendek walaupun jumlah penerbangan adalah seperti biasa. Dengan adanya sistem ini juga, proses pemeriksaan imigresen dapat dipercepatkan iaitu antara tempoh lima hingga 10 saat sahaja,” katanya selepas meninjau pelaksanaan sistem itu, hari ini.
Ketika ini, sebanyak 11 unit ‘autogate’ telah disediakan di lapangan terbang berkenaan iaitu lima di balai pelepasan manakala selebihnya ditempatkan di balai ketibaan.
Difahamkan, kemudahan tersebut boleh digunakan oleh rakyat Malaysia serta pelawat dari 72 negara bagi urusan pelepasan, manakala bagi ketibaan pula, ia boleh dimanfaatkan oleh rakyat negara ini serta pelawat dari 63 negara asing yang layak.
Sementara itu, Hon Wai berkata, pelaksanaan sistem tersebut sepenuhnya dilihat tepat pada masanya bagi menampung peningkatan kehadiran pelawat sempena sambutan Tahun Baharu Cina serta musim cuti perayaan yang lain di Pulau Pinang selain mengatasi isu kesesakan yang berlaku di LTAPP, ketika ini.-UTUSAN










