PETALING JAYA: Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) kini menggerakkan inisiatif transformasi pendidikan teknologi kejuruteraan negara melalui peralihan program ke laluan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Langkah itu bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari keperluan industri masa hadapan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif itu sejajar dengan Dasar TVET Negara 2030 dan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang memfokuskan kepada pembangunan graduan berkemahiran praktikal bernilai tinggi.
Katanya, pendekatan baharu yang diperkenalkan turut menekankan integrasi pembelajaran berasaskan industri, latihan praktikal intensif serta penggunaan model kompetensi global bagi memastikan graduan lebih bersedia memasuki pasaran kerja berkemahiran tinggi.
“Transformasi laluan teknologi kejuruteraan melalui TVET merupakan langkah strategik untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang semakin berasaskan teknologi.
“Negara memerlukan lebih ramai tenaga kerja teknologi kejuruteraan berkemahiran tinggi bagi memacu pertumbuhan industri berteknologi tinggi, digital dan tenaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta Linggi berkata, peralihan tersebut turut dilihat sebagai langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing berkemahiran tinggi sekali gus memperkukuh rangkaian bakat teknologi tempatan.
Beliau berkata, pengiktirafan antarabangsa terhadap program kejuruteraan yang diakreditasi LJM melalui Washington Accord, Sydney Accord dan Dublin Accord turut memperkukuh keyakinan global terhadap ekosistem pendidikan kejuruteraan Malaysia.
Katanya, ia memudahkan mobiliti profesional, mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap ekosistem pendidikan kejuruteraan Malaysia serta menyokong aspirasi strategik negara untuk menjadi hab global dan peneraju kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
“Setakat ini, sejumlah 99 program ijazah teknologi kejuruteraan (95 aktif) di 21 institusi pengajian tinggi dan 300 program diploma teknologi kejuruteraan (299 aktif) di 82 institusi telah diakreditasi mengikut standard antarabangsa.
“Selain itu, 374 program kejuruteraan (250 aktif) di 59 institusi turut diakreditasi bagi memastikan pembangunan menyeluruh ekosistem bakat kejuruteraan negara,” katanya. – UTUSAN










