PORT DICKSON: Suspek kes tikaman di sebuah bilik rumah kedai berhampiran Jalan Besar Bukit Pelandok pada 9 Februari lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini esok.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada pihak Pendakwaan Negeri Sembilan semalam dan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek berusia 21 tahun akan didakwa atas kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
“OKT akan dibawa untuk pertuduhan ke Mahkamah Majistret Port Dickson pada pukul 9 pagi esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan lengkap berpakaian dengan kesan darah selepas ditikam sebanyak 29 kali di bahagian leher.
Maslan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama suspek yang juga kenalan di tempat kerja dan bekerja sebagai pemanggang khinzir sedang minum minuman keras di dalam bilik berkenaan.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat luka tikaman berganda di leher dengan sebanyak 29 tikaman dikesan.
Suspek sebelum ini ditahan pada pukul 10 pagi hari sama di kawasan Bukit Pelandok dan direman tujuh hari bagi membantu siasatan.-UTUSAN











