IPOH: Seorang lelaki berhadapan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 114 gram, minggu lalu.
Tertuduh, Ong Gim Seong, 38, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret S. Punitha.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bilik bawah sebuah rumah di Taman Tawas Idaman, Ipoh pada pukul 3.55 petang, 4 Februari 2026.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh dihukum tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia. – UTUSAN










