Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa – Rapid Rail

Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa – Rapid Rail

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) menafikan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya tergendala, pagi tadi.

Menurut Rapid Rail, perkhidmatan tren beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu puncak tanpa sebarang kesesakan luar biasa di stesen mahupun di dalam tren.

Katanya, kemas kini khidmat pelanggan Rapid KL di media sosial berhubung pengeluaran beberapa tren daripada perkhidmatan adalah sebahagian daripada langkah ketelusan proaktif bagi memaklumkan pelarasan operasi secara masa nyata.

“Pengeluaran tren daripada perkhidmatan merupakan prosedur operasi dan keselamatan standard. Tren mungkin dikeluarkan sementara bagi tujuan pembaikan kecil termasuk isu prestasi penyaman udara atau sistem lain di dalam tren.

“Langkah ini diambil bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan kepada penumpang sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rapid Rail, setiap kali tren dikeluarkan daripada perkhidmatan, pihaknya akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk menggerakkan tren gantian sekiranya perlu.

Jelasnya, langkah tersebut bertujuan memastikan selang masa tren kekal mengikut kekerapan waktu puncak dan kebolehpercayaan perkhidmatan tidak terjejas.

“Sehubungan itu, Rapid Rail menegaskan ketelusan operasi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai gangguan perkhidmatan.

“Sebagai pengendali perkhidmatan rel di bawah jenama Rapid KL, syarikat komited memastikan operasi yang selamat, boleh dipercayai dan cekap selain terus menyalurkan maklumat tepat melalui saluran komunikasi rasmi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×