MUAR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti laporan penuh berhubung insiden kebakaran sebuah kilang berhampiran beberapa sekolah di daerah ini bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut dan akan mendapatkan penjelasan lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita akan minta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan meneliti perkara ini dan secara keseluruhannya, kita sudah pun mendapat laporan berkaitan apa yang berlaku.
“Ketika ini, semua sekolah itu sedang melakukan PdPR (pengajaran dan pembelajaran di rumah) dan laporan perusahaan itu ataupun yang berkait dengan kesan kebakaran itu dalam pendidikan kita dan kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Jaulah Ramadan Komuniti KPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, kementerian akan melihat laporan berkaitan kesan kebakaran tersebut terhadap institusi pendidikan sebelum mengambil langkah selanjutnya.
Kelmarin, sebuah kilang plastik di Jalan Sengkang musnah dalam kebakaran, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.37 petang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir memberitahu, lebih daripada 90 peratusan kawasan kebakaran kilang tersebut telah berjaya dipadamkan.
Tujuh buah sekolah terpaksa ditutup sementara sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian. – UTUSAN










