KGNS raikan anak yatim dalam majlis berbuka puasa

KGNS raikan anak yatim dalam majlis berbuka puasa

DONALD Lim Siang Chai (kanan) menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim pada majlis berbuka puasa di Kelab Golf Negara Subang, semalam.-UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 146 orang anak yatim diraikan dalam program majlis berbuka puasa anjuran Kelab Golf Negara Subang (KGNS) di sini semalam.

Presiden KGNS, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, majlis berkenaan merupakan program tahunan yang dianjurkan pihaknya dan tahun ini mereka meraikan anak-anak yatim dari lima buah rumah kebajikan sekitar Lembah Klang.

Kata beliau, pada majlis itu, pihaknya turut menyampaikan sumbangan beg sekolah, set alat tulis serta duit raya.

Tambahnya, sumbangan berkenaan bukanlah bermusim malah pihaknya bersedia mempertimbangkan sokongan tambahan sekiranya pihak rumah kebajikan terbabit berdepan keperluan mendesak.

“Kami ada 6,000 ahli di kelab ini, jika ada pertubuhan anak yatim berdepan kekurangan atau bantuan tidak mencukupi, mereka boleh maklumkan dan kami akan cuba bantu.

“Penglibatan ahli yang ramai membolehkan KGNS memainkan peranan lebih luas dalam membantu komuniti setempat, khususnya golongan kanak-kanak yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.

Tambah Donald, pihaknya turut menganjurkan beberapa inisiatif lain bagi membantu golongan kurang bernasib baik namun program menyantuni anak yatim pada bulan Ramadan kekal sebagai agenda tahunan.

“Kami sudah tetapkan setiap tahun mesti ada program seperti ini. Ini tanggungjawab sosial dan kami akan teruskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN