Kerajaan tidak boleh berdiam diri isu himpunan rumah ibadat haram

Kerajaan tidak boleh berdiam diri isu himpunan rumah ibadat haram

V. GANABATIRAU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegagalan kerajaan menyatakan pendirian berhubung himpunan membantah rumah ibadat haram berisiko memberikan kesan buruk apabila komuniti terlibat mentafsirkan tindakan itu sebagai sikap tidak peduli.

Ahli Parlimen Klang, V. Ganabatirau berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan berhubung isu kuil yang kononnya tidak berdaftar kerana situasi sebenar jauh lebih rumit daripada yang digambarkan.

“Apabila menteri berdiam diri dalam isu yang memberi kesan mendalam kepada sesuatu komuniti, keadaan itu akan ditafsir sebagai sikap tidak peduli.

“Kerajaan perlu bersuara. Kerajaan perlu menjelaskan isu ini. Kerajaan juga perlu meyakinkan orang ramai tanpa menyinggung sensitiviti agama, tetapi dengan tegas dan jelas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ganabatirau berkata, kepimpinan di bawah kerangka Madani perlu berani berdepan isu sukar dengan empati dan jelas terutama apabila melibatkan rumah ibadat serta keharmonian antara kaum.

Katanya, komuniti India tidak menuntut layanan istimewa, sebaliknya mengharapkan keadilan, maruah dan pengiktirafan.

“Sikap berdiam diri berpanjangan boleh membawa implikasi politik kerana rasa kecewa dalam kalangan komuniti terlibat tidak semestinya dizahirkan melalui protes, sebaliknya mungkin melalui penolakan di peti undi.

“Banyak kuil Hindu di seluruh negara masih belum diwartakan sebagai rumah ibadat rasmi, malah sebahagian besarnya disebabkan masalah sejarah dan pentadbiran tanah yang belum diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, banyak kuil tersebut dibina sejak beberapa dekad lalu khususnya di kawasan estet semasa era penjajahan dan awal selepas merdeka, namun status tanahnya masih tergantung daripada segi undang-undang.

Katanya, terdapat kuil yang dibina di tepi jalan, berhampiran longkang atau di atas tanah rizab dan isu tersebut memerlukan penyelesaian praktikal daripada kerajaan dan pihak berkuasa, bukannya kemarahan awam.
“Isu berkenaan boleh diselesaikan secara menyeluruh dalam tempoh setahun sekiranya terdapat kesungguhan politik dan tindakan pentadbiran yang tersusun,” katanya.

Ganabatirau turut membangkitkan persoalan kepada Menteri Perpaduan di Dewan Rakyat mengenai keperluan mewujudkan mekanisme nasional bagi menyelaras hal ehwal agama selain agama Islam, khususnya berkaitan tadbir urus rumah ibadat, pematuhan undang-undang, mediasi konflik komuniti serta keharmonian antara agama.

“Tiada tempat untuk pelampau agama yang menjadikan kepercayaan sebagai bahan hinaan dan provokasi bagi mencetuskan perpecahan.

“Jika golongan tersebut terus dibiarkan tanpa tindakan tegas, perpaduan, keamanan dan kestabilan negara akan terus terhakis.

“Malaysia dibina atas asas saling hormat, toleransi dan keharmonian. Kerajaan mesti berani bertindak, bukan sekadar menyeru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN