KUALA LUMPUR: Kerajaan telah menyelesaikan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM6.2 bilion bagi tahun taksiran 2023 melibatkan 95,282 kes sehingga 18 Februari lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan yakin dapat menunaikan kes bagi tahun taksiran 2023 lebih awal iaitu pada Februari 2026 berbanding sasaran asal pada suku pertama tahun ini.
“Bagi bayaran balik lebihan cukai tahun 2024 pula, ia disasarkan selesai sebelum akhir tahun ini.
“Pada masa sama, bayaran balik tanpa mengira usia kes akan terus dibuat kepada semua pembayar cukai individu selain syarikat,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai jaminan kerajaan supaya masalah kelewatan pemprosesan dan bayaran balik lebihan taksiran cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri tidak berulang, sekali gus mengelakkan keperluan peruntukan tambahan secara ad-hoc.
Menurut Chin Tong, bayaran balik lebihan cukai yang diselesaikan pada 2025 merupakan yang tertinggi dalam tempoh lima tahun iaitu RM22.45 bilion.
“Jika dibandingkan bayaran balik lebihan cukai dalam tiga tahun terkini (2023-2025), Kerajaan Madani telah menunaikan bayaran balik sebanyak RM56 bilion, iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding RM37 bilion bagi tempoh 2020-2022.
“Semua kes lebihan cukai bagi tahun 2022 dan sebelumnya yang layak telah diselesaikan pada 2025.
“Penyelesaian bayaran balik lebihan cukai pada tahun tersebut melibatkan 3.7 juta kes berbanding 2.7 juta kes pada 2024,” katanya. – UTUSAN











