KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan meneliti dakwaan rakyat negeri ini adalah antara paling ramai terlibat dalam pertukaran jantina.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, penelitian terperinci sedang dilakukan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Katanya, dakwaan tersebut tidak boleh diterima tanpa data sahih dan angka khusus yang menyokongnya.
“Kita perlu semak satu persatu. Setakat ini, kenyataan yang dibuat hanya bersifat umum tanpa disertakan statistik terperinci. Kerajaan negeri memandang serius perkara ini, namun kita tidak boleh menghukum berdasarkan dakwaan semata-mata,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Asri berkata, sekiranya dakwaan itu benar, ia adalah satu perkembangan yang sangat mendukacitakan dan tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, rakyat Kelantan cukup terkenal dengan latar belakang pendidikan agama yang kukuh.
Pada 4 Februari lalu, seorang individu yang bertindak menukar jantina dihadapkan ke Mahkamah Syariah,di sini, selepas ditahan dalam satu operasi acara melibatkan sekumpulan transgender pada awal tahun ini. – UTUSAN











