Kekalkan hukuman pemecatan Wan Saiful

Kekalkan hukuman pemecatan Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Rayuan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disaran mengekalkan keputusan pemecatan Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang dipecat pada 14 Oktober tahun lalu demi mempertahankan maruah dan kelangsungan perjuangan parti.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (AMPT) Bersatu, Datuk Dr. Ruhanie Ahmad berkata, Lembaga Rayuan Bersatu telah bersidang kelmarin bagi meneliti rayuan yang dikemukakan Wan Saiful berhubung pemecatan tersebut.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana Lembaga Rayuan telah bersidang untuk menuntas rayuan berkenaan dan berharap keputusan dapat dibuat dengan segera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga menaruh harapan agar Lembaga Rayuan mengekalkan hukuman pemecatan kepada Wan Saiful seperti yang diputuskan Lembaga Disiplin sebelum ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ruhanie yang juga Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Bangi berkata, pendirian itu merupakan hasrat ikhlas untuk mempertahankan maruah parti serta memastikan kelangsungan dan kelestarian perjuangan Bersatu.

Katanya, semua pemimpin dan ahli Bersatu di semua peringkat diseru untuk menghormati Perlembagaan parti, institusi presiden, misi dan visi perjuangan, selain memelihara peraturan, adab, kesetiakawanan dan jati diri parti.

“Sesiapa yang melanggar tuntutan ini wajar dikenakan hukuman maksimum. Ketegasan itu perlu disokong sepenuhnya kerana ia pendekatan terbaik untuk menjamin kekuatan parti serta mengelak pelbagai ancaman yang boleh melemahkan Bersatu,” katanya.

Sebelum ini, Bersatu telah memecat keahlian Wan Saiful susulan pelanggaran Perlembagaan dan kod etika parti.

Selain Wan Saiful, turut dipecat ialah Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd. Azrudin Md. Idris.

Dalam tindakan berasingan, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini