KUALA LUMPUR: Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sekali lagi mendakwa menerima pelbagai tawaran daripada ‘ejen’ kerajaan supaya menyokong kerajaan.
Beliau mendakwa, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi bersama tiga individu lain membuat pelbagai tawaran kepadanya sekiranya menyokong kerajaan.
Menurut beliau, antara tawaran tersebut adalah memberikan peruntukan Parlimen, peruntukan projek bernilai RM2 juta, bayaran kos perubatan isteri beliau, kos guaman peruntukan di mahkamah dan token yang tidak dinyatakan nilainya serta pengguguran kes di mahkamah.
“Saya mengemukakan peraturan 80 (a) kerana sudah ada kes duluan pada 2009 membabitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.
“Saya ingin mencadangkan Dewan ini membuat ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (A) yang di baca bersama seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini,” katanya yang bangun mengemukakan peraturan mesyuarat itu sebaik selesai sesi soal jawab, di Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Saiful berkata, pada 17 Januari lalu, Mohd. Azizi merupakan individu yang memperkenalkan beliau dengan dua individu yang bernama Hasnan dan Datuk Azman.
Sementara itu, katanya, Zulkafperi memperkenalkan dirinya dengan individu yang bernama Datuk Rahim.
“Saya menganggap ini usaha kacau ganggu melalui penawaran dan ancaman yang salah kepada saya sebagai ahli Dewan Rakyat, yang mana berlaku tindakan menghina majlis berdasarkan Seksyen 9d dan 9e Akta 347 dan boleh jika disabitkan di hukuman di bawah akta yang sama.
“Justeru, saya memerlukan pembentukan jawatankuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 80(a),” katanya.
Untuk rekod, Wan Saiful sebelum ini mendakwa ditawarkan habuan untuk menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan antara habuan ditawarkan adalah peruntukan sebanyak RM1.7 juta.
Sehubungan itu, bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau dihubungi oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pendedahannya.
“Tak sampai satu jam selepas saya berucap, saya dapat mesej daripada pegawai SPRM minta saya hubungi mereka. Saya akan patuh,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Rabu
Bagaimanapun, SPRM menafikan dakwaan mengenai pihaknya ada menghubungi Wan Saiful berkenaan dakwaan tawaran habuan sekiranya menukar ‘haluan’ dengan menyokong kerajaan dan berpaling tadah daripada Perikatan Nasional (PN).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan bahawa dia telah dihubungi pegawainya sebaik sahaja membangkitkan dakwaan ditawarkan habuan untuk menukar sokongannya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sudah menjadi tugas penguatkuasa tersebut untuk menyiasat dakwaan rasuah yang dibangkitkan Wan Saiful ketika sidang Dewan Rakyat.
“Tidak ada pegawai saya yang menghubungi beliau, mungkin sesiapa pun boleh hubungi beliau mengatakan daripada SPRM,” jelasnya. – UTUSAN











