KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat sekali lagi menjadi panas apabila Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) membuat dakwaan yang menarik perhatian iaitu berhubung dua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyokong kerajaan sebelum ini.
Beliau yang bangun sambil mengemukakan peraturan mesyuarat itu menggesa Dewan Rakyat untuk menubuhkan jawatankuasa berhubung tindakan dua ahli Parlimen yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan.
Dakwanya, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi membantu tiga individu lain untuk membantu menarik sokongan ahli Parlimen pembangkang lain kepada kerajaan.
Katanya, dua pemimpin tersebut membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan kepada kerajaan.
“Saya mengemukakan peraturan 80 (a) kerana sudah ada kes duluan pada 2009 membabitkan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.
“Saya ingin mencadangkan Dewan ini membuat ketetapan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas mengambil tindakan berdasarkan peraturan 80 (A) yang di baca bersama Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam Dewan ini,” katanya. UTUSAN










