Kejayaan di Terengganu bukti Ahmad Samsuri mampu mengemudi PN

Kejayaan di Terengganu bukti Ahmad Samsuri mampu mengemudi PN

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan di Terengganu merupakan bukti bahawa Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mampu mengemudi Perikatan Nasional (PN) terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Wanita PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi yang baharu merupakan satu titik penting dalam pengukuhan kepimpinan PN di peringkat nasional

Kata beliau, Menteri Besar Terengganu itu terbukti sebagai pemimpin yang berintegriti, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta memiliki rekod kepimpinan yang cemerlang.

“Kewibawaan beliau dalam mentadbir serta kejayaan mengemudi kemenangan cemerlang di Terengganu adalah bukti keupayaan sebenar kepemimpinan beliau.

“Saya yakin pengalaman tersebut akan menjadi kekuatan serta inspirasi penting dalam memperkukuh gerak kerja dan strategi PN, termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan Pas akan menerajui PN selepas Naib Presiden mereka, Ahmad Samsuri dilantik sebagai pengerusi gabungan parti politik itu.

Keputusan itu sekaligus menamatkan spekulasi siapakah individu paling layak mengetuai PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya berdiri teguh dan memberi komitmen penuh untuk bersama-sama memperkukuh jentera parti, memperluas sokongan rakyat serta memastikan agenda membela kebajikan rakyat.

Selain itu, katanya, PN Melaka juga akan membantu dalam memperkasa ekonomi dan menegakkan tadbir urus yang bersih serta berintegriti terus menjadi keutamaan.

“Wanita PN juga mengharapkan agar Pengerusi akan terus sama memperjuangkan agenda memartabat dan perkasakan wanita di dalam kamus perjuangan PN.

“Kami yakin di bawah kepimpinan Ahmad Samsuri, PN akan tampil lebih tersusun, bersatu dan diyakini rakyat sebagai alternatif terbaik untuk memimpin negara,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×