Kedudukan 16 bekas ahli Parlimen Bersatu kabur

Kedudukan 16 bekas ahli Parlimen Bersatu kabur

Jawatankuasa Parlimen
JOHARI ABDUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan 16 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Dewan Rakyat dan didakwa bakal menyertai parti politik lain bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin belum dapat diputuskan kerana tiada pengesahan rasmi setakat ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Bersatu belum mengutuskan sebarang pemakluman berhubung status 16 ahli Parlimen itu dan Hamzah.

“Tanpa sebarang surat pengesahan rasmi daripada Bersatu, saya tidak boleh membuat sebarang keputusan atau tindakan lanjut berkaitan perkara tersebut.

“Sekarang belum terima apa-apa makluman rasmi, jadi saya tak mahu membuat sebarang spekulasi atau apa-apa komen. Jika sudah terima, barulah saya akan buat keputusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini melaporkan, Hamzah bersama 16 ahli Parlimen Bersatu dijangka menyertai parti politik lain minggu depan.

Perkembangan itu susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu yang berkuat kuasa pada 13 Februari lalu selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti berkenaan.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan berkata, selain 16 wakil rakyat terbabit, beberapa ketua bahagian turut menyatakan sokongan dan dijangka menyertai rumah baharu tersebut.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abd. Hamid berkata, di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, ahli Parlimen yang secara sukarela berpindah ke parti lain akan terbatal jawatannya.

Katanya, bagaimanapun dalam kes Hamzah dan beberapa ahli Parlimen Bersatu yang dipecat, keadaan itu bukan secara sukarela.

“Maksud dipecat adalah tindakan itu diambil oleh parti, bukannya oleh individu sendiri. Oleh itu, status mereka secara automatik menjadi ahli Parlimen Bebas,” katanya.

Mohd. Azhar berkata, Pecahan 2C di bawah Perkara 49 turut menyatakan bahawa mereka masih layak mengekalkan kerusi masing-masing dan status ahli Parlimen mereka tidak terbatal.

“Secara ringkasnya, di bawah peruntukan itu, mereka masih boleh mengekalkan kedudukan sebagai ahli Parlimen bebas dan bukan lagi mewakili Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN