KANGAR: Keadaan kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang semakin baik dengan tahap jantung menunjukkan perkembangan positif.
Anak bongsunya, Husna Hashim berkata, tahap jantung bapanya yang sebelum ini sangat lemah sekitar 35 peratus mula menunjukkan peningkatan.
Katanya, apabila keadaan buah pinggang Hashim bertambah baik, beliau akan dilaksanakan prosedur angiogram.
“Sekarang keadaan abah (Hashim) semakin baik berbanding sebelum ini. Saya berharap masyarakat terus mendoakan abah kembali sihat seperti sebelum-sebelum ini.
“Ketika ini, abah tidak tahu lagi bila akan dibenarkan pulang tetapi sebelum pulang, abah perlu melalui prosedur angioram terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hashim, 87, sebelum ini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini sejak 7 Februari lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.
Beliau dipantau di ICU disebabkan keadaan jantung semakin lemah, masalah buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-paru.
Sementara itu, Husna memberitahu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ada menziarahi bapanya baru-baru ini.
Katanya, selain itu, beberapa pemimpin dan rakan-rakan Hashim termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut hadir menziarahi bapanya. – UTUSAN










