Kampung Tebakang potensi produk pelancongan patuh syariah

Kampung Tebakang potensi produk pelancongan patuh syariah

RAZALI Idris (tiga dari kiri) merasmikan Menara Tinjau dan Mengisytiharkan Kampung Tebakang sebagai destinasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) di Kampung Tebakang, Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) Kampung Tebakang yang diuruskan oleh Koperasi Kariah Masjid Kampung Tebakang Marang Berhad (KOMiT) berpotensi muncul sebagai tarikan baharu pelancongan patuh syariah di negeri ini.

Pengerusi KOMiT, Hussin Ismail berkata, usaha koperasi yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu itu menunjukkan perkembangan positif sehingga Kampung Tebakang terpilih sebagai salah satu produk CBT di Terengganu.

Katanya, konsep pelancongan mesra syariah yang diamalkan terus diperkasa bagi menjadikan CBT Kampung Tebakang sebagai produk pelancongan unik, mampan dan berdaya saing.

“CBT Kampung Tebakang menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan berunsur pendidikan termasuk pengoperasian madrasah, agro-pelancongan menerusi kebun kelapa SGG serta pelancongan sukan melalui aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).

“Kampung Tebakang bukan sekadar satu lokasi, sebaliknya mempunyai lebih 20 pusat destinasi pelancongan termasuk Me­nara Tinjau,” katanya kepada Utusan Malaysia pada Majlis Perasmian Menara Tinjau dan Mengisytiharkan Kampung Tebakang sebagai destinasi CBT di sini yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris.

Hussin berkata, pembangunan CBT memerlukan kerjasama erat komuniti setempat termasuk gabungan beberapa mukim yang mampu mewujudkan lebih 100 unit inap desa sekali gus menjana pendapatan penduduk.

“Antara aktiviti ditawarkan ialah ATV digabungkan dengan pengalaman melihat ladang getah, memberi makan lembu dan kerbau selain produk kraf seperti batik pelangi dan songket yang melibatkan 34 pengusaha aktif serta tanaman padi darat,” katanya.

Sementara itu, Razali  berkata, penglibatan aktif komuniti setempat dalam menjayakan CBT Kampung Tebakang membuktikan keberkesanan model pelancongan berteraskan nilai syariah, gotong-royong dan kelestarian alam.

“Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kewangan bagi memastikan CBT Kampung Tebakang dan CBT lain di Terengganu dapat menjana pendapatan secara berterusan,” katanya

Razali berkata, daerah Marang mempunyai pelbagai produk pelancongan semula jadi seperti pulau, sungai dan pantai yang berpotensi dimajukan secara bersepadu.

“Justeru itu, kita mengharapkan kerjasama padu komuniti setempat bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi sampingan kepada penduduk,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata,  kerajaan negeri akan melaksanakan proses pemutihan CBT di seluruh Terengganu bagi mengenal pasti  yang tidak aktif.

“Kita akan mengenal pasti masalah yang dihadapi dan membantu mengatasinya. Namun, sekiranya masih tidak menunjukkan prestasi memuaskan, kita tidak teragak-agak untuk menutup operasi tersebut.

“Setakat ini, sebanyak 30 CBT beroperasi di seluruh Terengganu sebagai pemacu pelancongan berteraskan komuniti yang mengangkat nilai kebudayaan tempatan, kelestarian alam dan semangat gotong-royong,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN