PETALING JAYA: Kadar zakat fitrah bagi Perlis untuk tahun ini ditetapkan kekal satu kadar sahaja, iaitu RM9 bagi setiap individu, sama sebagaimana tahun sebelumnya.
Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan penetapan kadar zakat fitrah itu di Istana Siraj Kuala Lumpur pada petang semalam.
Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs dengan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut MAIPs, penetapan kadar itu diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di Perlis, selaras tuntutan syarak menetapkan kadar satu gantang Nabawi bagi setiap individu.
MAIPs berkata pembayaran boleh dilakukan melalui amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs, iaitu www.maips.gov.my atau menerusi digital.maips.gov.my.- UTUSAN










