PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat pelbagai dakwaan yang dikaitkan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang akan meneliti segala dakwaan itu secara terperinci sebelum laporan lengkap dibentangkan kepada Kabinet.
“Setelah selesai siasatan, hasil dapatan akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini adalah dalam usaha untuk memastikan aspek ketelusan dan integriti dalam proses siasatan,” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di Kementerian Komunikasi hari ini.
Satu portal berita antarabangsa sebelum ini mendakwa berhubung pemilikan saham Azam yang dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000 dan Azam dikatakan disenarai sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan, menurut pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Laporan itu mendakwa, pegangan saham didedahkan dalam penyata tahunan syarikat terlibat yang difailkan pada 3 Februari 2025.
Azam kemudiannya menegaskan bahawa beliau telah melupuskan semua sahamnya dan kini tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat, selain semua urus niaga sahamnya sebelum ini dijalankan secara telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan.
Ditanya mengenai desakan daripada beberapa ahli Parlimen PKR supaya Azam digantung tugas, Menteri Komunikasi itu berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Bagaimanapun, menurut Fahmi, sebarang tempoh masa bagi menyiapkan siasatan itu perlu dirujuk terus kepada KSN. – UTUSAN










