GENTING HIGHLANDS : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran keras kepada ejen atau orang tengah yang cuba memberi rasuah kepada mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan.
Penegasan ini dibuat selepas SPRM beberapa sindiket rasuah telah didalangi ejen tersebut.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun pelbagai tindakan penguatkuasaan dan pencegahan telah dilaksanakan kes melibatkan golongan itu dilihat masih berulang.
Beliau berkata, situasi tersebut menuntut pendekatan yang lebih tegas dan menyeluruh termasuk dari segi pemantauan, pendidikan integriti serta tindakan undang-undang tanpa kompromi.
“Kita mengalih fokus kita untuk tahun ini, kita akan sasar orang tengah dan sesiapa yang terlibat.
“Kesemua ejen ini tidak kira di lapangan terbang, pelabuhan melibatkan perolehan kerajaan dan sebagainya. Bila sebut tentang ejen, ini termasuklah orang tengah dan juga pelobi-pelobi projek dan sebagainya.
“Saya beri amaran keras pada mereka untuk menghentikan aktiviti ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Pencegahan dan Usaha Memerangi Rasuah di sini hari ini.
Turut hadir sama, dalam majlis ini ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Dalam pada itu, Ahmad Khusairi menegaskam beberapa sindiket yang didalangi ejen tersebut telah dikenal pasti dan berada dalam radar siasatan mereka.
“Kita akan ambil tindakan yang tegas,” jelasnya. – UTUSAN










