Seleweng pelaburan: Rafizi dedah SPRM akan buat serbuan terhadapnya

Seleweng pelaburan: Rafizi dedah SPRM akan buat serbuan terhadapnya

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan satu serbuan terhadap dirinya susulan laporan berhubung penyelewengan melibatkan pelaburan RM1.1 bilion.

Beliau berkata, serbuan itu dimaklumkan oleh satu sumber dalaman agensi itu kepadanya pagi ini.

Bagaimanapun, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau bersedia untuk sekali lagi melalui pengalaman intimidasi daripada pihak berkuasa susulan tindakannya membangkitkan isu penyelewengan membabitkan SPRM seperti dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.

“Saya hendak sampaikan kepada (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki, saya ini veteran dalam bab kena tangkap dan masuk lokap, kena serbu, geledah. Jadi saya bersedia melalui semuanya ini sekali lagi.

“Kita pernah juga melalui dengan taktik intimidasi dan juga mencipta kes seperti ini oleh pentadbiran-pentadbiran sebelum ini, tetapi akhirnya kebenaran akan tetap terserlah dan rakyat akan buat penghakiman,” katanya pada sidang akhbar berkaitan laporan penyelewengan membabitkan SPRM seperti dilaporkan Bloomberg, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Semalam, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak SPRM untuk menyiasat bekas menteri kanan berkaitan perjanjian kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat asing membabitkan dana sehingga hampir RM1.1 bilion.

Laporan itu kemudian diulang ciap oleh Rafizi di laman sosial X miliknya dengan mendedahkan bahawa ia berkaitan syarikat reka bentuk semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings, yang didakwa memberi sogokan kepadanya.

Dalam ciapan itu, beliau menyatakan kesediannya untuk disiasat oleh SPRM dan menyamakan tindakan itu dengan salah satu francais filem ternama Star Wars iaitu Empire Strikes Back.

“Koreklah semua. Makan tengah hari atau cenderahati pun aku tak dapat apatah lagi komisyen Masih miskin macam sebelum ini, tak ada saham berjuta-juta,” katanya di laman sosial X.

Bagaimanapun, Rafizi berkata, sehingga kini beliau masih belum dihubungi oleh SPRM untuk sebarang tindakan termasuklah merakam keterangannya.

“Kalau dia hendak tangkap, tangkaplah, geledahlah. Saya tiada apa hendak disembunyikan. Jika benar dakwaan ini, kenapa perlu saya letak jawatan daripada kerajaan.

“Saya pernah jalani 16 kes, jadi apa yang saya boleh katakan kepada SPRM adalah do your worst (ambillah tindakan). Saya tiada apa hendak disembunyikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, ‘harga’ yang perlu dibayar atas prinsip dipegangnya amat berbaloi apatah lagi ia dibuat atas kepentingan rakyat.

“Jika perlu melalui sekali lagi dengan pengalaman masa lalu seperti masa kes 1MDB (1 Development Malaysia Berhad), Felda, Tabung Haji. Setakat masuk lokap dua, tiga hari, kena gari, semua berbaloi kerana perkara-perkara ini penting untuk rakyat. 

“Jadi kalau berani, cuba buat. Saya juga hendak ingatkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau juga yang pernah melaungkan sendiri sebelum ini bahawa rakyat adalah hakim negara. Akhirnya ia akan sampai juga kepada rakyat. Hanya tunggu masa sahaja,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN