JKNK uji sampel makanan bazar Ramadan berasaskan santan, ais esok - Utusan Malaysia

JKNK uji sampel makanan bazar Ramadan berasaskan santan, ais esok

DR. Mohd. Azman Yacob (kanan) semasa meninjau gerai jualan di bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan memulakan pengambilan sampel makanan seperti kuih onde-onde, air balang dan hidangan bersantan secara rawak di seluruh bazar Ramadan di negeri ini bermula esok bagi memastikan setiap juadah yang dijual benar-benar selamat dimakan.

Pengarahnya Datuk Dr. Mohd. Azman Yacob berkata, hal ini kedua-dua bahan itu antara komponen berisiko tinggi mudah tercemar jika tidak dikendalikan dengan bersih dan mengikut peraturan sekali gus boleh mencetuskan penyakit bawaan makanan.

“Ada makanan yang secara fizikal nampak elok dan menyelerakan, namun pencemaran mikroorganisma tidak dapat dilihat dengan mata kasar serta boleh menyebabkan keracunan makanan.

“Sebab itu kita perlu jalankan ujian makmal terhadap sampel yang diambil supaya penilaian dibuat secara saintifik dan bukan sekadar luaran,” katanya kepada pemberita Program Walkabout Bazar Ramadan Peringkat Negeri Kelantan di kawasan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini hari ini.

Dr. Azman memberitahu, keputusan analisis sampel dijangka diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu sebelum tindakan lanjut diambil terhadap peniaga yang didapati melanggar peraturan.

Katanya, tindakan itu dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Akta Makanan 1983.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JKNK juga akan melakukan pemeriksaan awal di kilang memproses ayam, ais dan premis menjual santan yang membekalkan bahan mentah itu kepada peniaga bazar Ramadan di negeri ini.

Katanya, ia melibatkan pemantauan menyeluruh di 48 pusat pemprosesan ayam, 30 pembekal santan dan 27 kilang memproses ais.

“Langkah proaktif itu diambil untuk memastikan tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan kebersihan dan keselamatan makanan berada pada tahap tertinggi yang bermula daripada fasa pembekalan bahan mentah sehingga makanan sampai ke tangan pembeli.

“Langkah ini sangat penting supaya tiada sebarang masalah berhubung bahan tersebut yang digunakan dalam setiap masakan atau minuman sepanjang Ramadan ini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN