JDT gah benam Penang FC, lakar kemenangan ke-18 liga

JDT gah benam Penang FC, lakar kemenangan ke-18 liga

PEMAIN JDT, Bergson Da Silva (dua dari kiri) diasak oleh pemain Penang FC, Kamil Jaser Amirul (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan bahawa mereka terlalu unggul untuk ditewaskan dalam saingan Liga Super musim ini apabila melakar kemenangan ke-18 berturut-turut selepas membenam cabaran Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya di sini, sebentar tadi.

Turun dengan reputasi tinggi selaku juara bertahan, skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menggegar jaring gol tuan rumah menerusi pemain import kelahiran Brazil, Marcos Guilherme seawal minit ke-6.

Gol berpunca daripada kelalaian dua tonggak pertahanan Penang FC iaitu Adib Raop dan Obilor Faith Friday yang memberi banyak ruang kepada Guilherme untuk bergerak sebelum pemain itu berjaya meloloskan diri dan merembat kencang ke arah gawang untuk gol pertama pelawat.

Tersentak dengan jaringan awal tersebut, skuad Harimau Kumbang cuba memperkemaskan corak permainan mereka dalam usaha untuk memburu gol penyamaan.

Bagaimanapun, penyerang prolifik JDT, Bergson Da Silva terus menambah derita tuan rumah dengan gol kedua selepas menerima lorongan bola yang cantik daripada pemain sayap, Oscar Aribbas pada ke-34.

Tiga minit berselang, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail hampir beroleh gol sulung perlawanan, namun, percubaan ayam tambatan mereka, Dylan Wenzel-Halls berjaya ditepis oleh penjaga gol pelawat, Syihan Hazmi.

Masuk babak kedua, JDT berjaya meneruskan penguasaan mereka dan menambah gol ketiga pada minit ke-68, juga menerusi sentuhan Bergson.

Penyerang berusia 35 tahun itu berjaya menggelecek Obilor sebelum melepaskan rembatan leret yang sama sekali gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid.

Ketika tuan rumah cuba menyusun permainan untuk bangkit bagi mendapatkan sekurang-kurangnya gol saguhati, Arribas mematikan terus sisa-sisa harapan Penang FC dengan gol keempat pada minit ke-91.

Keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan JDT kini berkelebihan 18 mata berbanding pasukan di tangga kedua iaitu Kuala Lumpur City (KL City) FC sekali gus semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan liga buat kali ke-12 berturut-turut.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN